Jom Travel Ke Oymyakon Perkampungan Paling Sejuk Di Dunia Mencecah Sehingga -71 Celcius

TRAVEL
January 15, 2019 - 04:43 PM


Bayangkan dengan suhu penghawa dingin 16 darjah celcius pun kita dah tak boleh tahan. Inikan pula sehingga mencecah -71 darjah. Memang beku lah jawabnya. 

Cuaca dan suhu yang sangat melampau, terlalu panas atau terlalu sejuk di sesebuah negara adalah sesuatu cabaran bagi manusia yang mendiami kawasan itu. Suhu yang mencecah bawah -1 ke -20 darjah celcius sudah menjadi kebiasaan untuk mereka.

Namun begitu, bagaimana pula keadaannya di Oymyakon? Penempatan ini pernah merekod suhu paling dingin iaitu -71 darjah celcius sekitar tahun 1924, sekali gus dinobatkan sebagai tempat paling sejuk di dunia yang didiami manusia.

Oymyakon adalah sebuah penempatan atau kampung yang berada di Sakha Rusia. Purata penduduknya sebanyak 500 orang tidak membataskan mereka mendiami kawasan paling dingin ini.

Penduduk di sini agak mundur dari arus teknologi, kebanyakan dari mereka masih menggunakan arang batu untuk menghidupkan api bagi mengekalkan suhu.

Penduduk juga terpaksa menghidupkan enjin kereta sepanjang waktu untuk mengelakkan kenderaan dari membeku.

Akibat suhu di Oymyakon yang mencecah -47 darjah celcius ke -67 celcius, kehidupan seharian penduduk di sini lebih mencabar dari kebiasaannya. Suhu yang melampau dari iklim kutub utara Artik ini, menyebabkan tiada aktiviti pertanian dapat dilakukan dan kebanyakannya bergantung kepada penternakan dan memakan ikan mentah serta sup daging untuk meneruskan kehidupan.

Selain tanah yang dtutupi salji ais , segala peralatan dan sekelilingnya turut membeku lantas menambahkan lagi kerumitan dalam penyediaan makanan dan rutin harian penduduk di sana

Tanah beku sepenuhnya di kawasan ini menjadikannya mustahil untuk mengalirkan air melalui paip ke rumah. Sehingga terdapat sumber air di sebuah bangunan khas. Cuba bayangkan bertapa sukarnya kerana setiap kali pergi ke bilik mandi, anda perlu keluar dari rumah meredah udara beku

Saat ada kematian, proses penguburan juga perlu mengambil masa selama tiga hari. Hal ini kerana tanah perlu dicairkan dengan unggun api besar selama beberapa jam dan selepas itu lubang perlu digali untuk meletakkan keranda. Proses ini diulang selama beberapa hari sehingga lubang cukup untuk mengubur keranda

"Eyelashes Freeze" sudah menjadi kebiasaan untuk warga Oymyakon.

Ketika musim sejuk, penduduk di Oymyakon juga hanya menerima sinar matahari selama 3 jam sahaja. Apabila musim panas, matahari akan bersinar sehingga 21 jam, tetapi sinar matahari tidak mampu mencairkan kesemua salji yang terbentuk pada musim sejuk.

Jika ke sini, kesan Perang Dingin tidak dirasakan di kawasan ini, kerana mereka berada dalam keadaan tenang, berbeza dengan wilayah Rusia yang lain. Malah penduduk di sini juga sangat peramah.

Menggunakan kamera di tempat ini juga sangat sukar, kerana embun nafas lebih tebal daripada asap biasa sehingga lensa sentiasa tersekat. Fokus kamera juga menjadi sukar kerana sejuk mempengaruhi sistem mekanikal pada roda lensa.

Kehidupan di sana bergantung kepada termometer, jika suhu mula mencapai lebih rendah daripada -50 darjah Celsius, semua kemudahan awam akan ditutup.

Selain itu hubungan telekomunikasi juga agak teruk di sana. Andai ingin ke Oymyakon, tempoh perjalanan yang diperlukan adalah selama dua hari dari bandar Yakutsk.