Mungkin Penumpang Obes Harus Bayar Lebih Mahal Untuk Tiket Pesawat

TRAVEL
November 30, 2017 - 10:54 AM


Jika seseorang itu mempunyai berat yang berlebihan mahu pun obes, pada masa ini mereka bukan sahaja harus bimbangkan kesihatan, sebaliknya dari aspek ekonomi dan kewangan

Ini kerana ada kajian yang dijalankan di UK mendapati ramai yang bersetuju iaitu sekitar 91 peratus percaya mereka yang obes ini seharusnya dicaj lebih mahal ketika menaiki pesawat!

Memetik laporan Telegraph, kajian itu meliputi 2,494 orang yang dijalankan oleh laman web Jetcost.co.uk. Bukan sahaja di UK beranggapan sedemikian, malah negara jirannya seperti Perancis, Itali dan Sepanyol turut bersetuju pengguna yang berbadan besar ini harus membayar lebih.

Pun begitu, negara Jerman berpendapat seharusnya tempat duduk yang lebih besar ini tidak wajar ditawarkan langsung dalam pesawat.

Isu ini menjadi perbincangan hangat beberapa tahun kebelakangan ini kerana apa yang menjadi fokus utama ialah muatan lebih menyebabkan lebih bahan bakar diperlukan.

Ia juga berkaitan dengan polisi sesetengah syarikat penerbangan yang meminta penumpang membayar harga tempat duduk ekstra jika tidak muat duduk di satu tempat duduk.

Sememangnya berat dalam pesawat sangat diambil kira kerana memetik The Economist, pengurangan 1 kg dalam pesawat mampu menjimatkan bahan bakar bernilai USD3,000.

Ada juga pendapat yang mengatakan jika penumpang lain boleh membayar lebih dengan beg yang memiliki muatan lebih, mengapa tidak kepada penumpang gemuk?

Ini sekaligus menyebabkan penumpang gemuk yang perlu membayar lebih untuk tempat duduk ekstra ini bakal melakukan sesuatu untuk menguruskan berat badan mereka. Motivasi katanya.