Mural Khat Jawi Di Batu Gajah, Satu Lagi Tarikan Baharu Selain Kellie's Castle

TRAVEL
February 24, 2020 - 11:41 AM


Bagi yang berkunjung ke Perak, antara destinasi wajib singgah untuk bergambar pastinya rumah agam separuh siap yang terus menjadi misteri sejak lebih 100 tahun lalu iaitu Kellie's Castle, di Batu Gajah.

Tetapi korang tahu tak bahawa tak jauh dari lokasi itu, sekitar 6 kiometer atau 7 minit perjalanan --- ada satu lagi tarikan baharu yang boleh dilawati iaitu deretan 14 mural khat tulisan jawi pada jambatan di Kampung Pisang yang cantik untuk dirakamkan sebagai kenangan.

Macam yang kita tahu, biasanya mural sering memaparkan hasil karya lukisan ataupun tulisan di atas sesuatu permukaan misalnya wajah kanak-kanak, flora dan fauna atau yang berbentuk abstrak bagi mengambarkan sesuatu ekspresi.

Namun, mural di Kampung Pisang, Batu Gajah ini sedikit 'rare' apabila memaparkan selawat dan zikir yang dihasilkan sendiri oleh seorang suri rumah, Nurfarahin Nordin, 26, pada November lepas yang didorong rasa cinta terhadap seni khat. 

“Jambatan itu sebelum ini dipenuhi semak samun tapi telah dibersihkan oleh ayah mentua saya, Mohamad Ramli Othman yang juga ketua kampung.

"Beliau mencadangkan agar saya membuat khat untuk menambah keindahan sekali gus mengingatkan kepada orang ramai yang melalui jalan ini supaya sentiasa berzikir, maka kerana minat saya berusaha menghasilkan tulisan khat jenis Khat Diwani Jali," katanya ketika ditemui Bernama.

Bercerita lebih lanjut, Nurfarahin yang merupakan ibu kepada seorang anak berkata beliau mengambil masa selama empat minggu untuk menyiapkan kesemua lukisan menggunakan cat mural dengan kos sendiri sebanyak RM300.

Menurut anak sulung daripada empat beradik itu, kerja menyiapkan lukisan mural setinggi kira-kira dua meter memerlukannya memanjat tangga dan ia dilakukan pada hujung minggu dengan dibantu suami, Mohammad Syahrul Aswad, 27, yang bekerja sebagai penasihat kewangan di sebuah bank berhampiran.

“Dalam proses menghasilkan lukisan mural ini, suami terlebih dahulu mengecat permukaan dengan warna putih sebelum saya memulakan lakaran, mengecat dan diakhiri dengan sapuan cat ‘clear’ supaya tidak mudah luntur disebabkan panas dan hujan,” katanya.

Nurfarahin yang tinggal di Bandar Tasik Idaman, Kampung Pisang berkata beliau berasa gembira kerana usahanya mendapat reaksi positif bukan sahaja daripada penduduk sekitar, malah orang ramai di seluruh negara selepas gambarnya tular di media sosial.

Ramai warganet memuji usaha Nurfarahin kerana walaupun berbadan kecil, beliau tidak kisah untuk memanjat tangga, malah sanggup berpanas terik semata-mata untuk memastikan hasil seninya disiapkan dengan sempurna. 

Pemegang Ijazah Kewangan dan Perbankan Islam daripada Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah itu berkata minatnya terhadap seni khat jawi bermula sejak di sekolah rendah.

Kini, Nurfarahin mengambil tempahan tulisan khat yang dihasilkan pada kanvas, bingkai serta bekas pensil dengan tempahan datang dari seluruh negara. Orang ramai yang ingin melihat hasil seni tangannya boleh melayari instagram beliau di farahtasneem dan facebook Farah Tasneem.

Sumber & Kredit Foto: Bernama

Destination: