Nikmati Durian Hibrid Dalam Suasana Dusun Hanya RM50!

TRAVEL
July 16, 2019 - 02:43 PM


Siapa sangka di Kuala Kangsar, Perak yang sememangnya terkenal sebagai 'Bandar Diraja' sebenarnya mempunyai sebuah pusat agro-pelancongan berasaskan durian pertama di Malaysia!

Diberi nama "Duriotourism Kuala Kangsar", kawasan berkeluasan 50 hektar itu diusahakan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) dengan 20 hektar daripadanya ditanam dengan pelbagai jenis durian hibrid seperti MDUR 78, MDUR 79 dan MDUR 88.

Jika korang adalah penggemar raja buah ini, Duriotourism Kuala Kangsar yang terletak di Kampung Talang Hulu atau kira-kira 3 kilometer sahaja dari Plaza Tol Kuala Kangsar adalah destinasi persinggahan wajib untuk korang menikmati durian dalam suasana dusun!

Di sini pengunjung berpeluang melawat ladang dengan menaiki trem, mendengar penerangan daripada pekerja mengenai penanaman durian, selain mengenali klon durian, mengenal pasti perbezaan buah manggis dan mesta, serta bergambar dalam persekitaran alam semula jadi di ladang.



Pengunjung juga boleh menikmati buah mesta yang merupakan varieti buah manggis yang dihibridkan pihak Mardi.



Ia berbentuk tirus, mempunyai rasa lebih manis dan isinya lebih kering berbanding buah manggis yang sedikit berair.

Malah, buah durian hibrid di sini lebih istimewa kerana mempunyai ciri yang cantik, isinya kurang berair, warna lebih menarik kuning keemasan serta mempunyai kualiti buah baik dengan rasanya sedap dan mudah dibuka.

Peminat raja buah boleh mengunjungi Duriotourism Kuala Kangsar dengan kadar bayaran RM50 untuk menikmati buah durian di ladang bermula 9 pagi hingga 6 petang.



Sejak dibuka pada Disember 2017, pusat agro-pelancongan itu telah menerima hampir 2,000 pengunjung.



Maklumat lanjut mengenai pusat agro-pelancongan itu boleh didapati dengan menghubungi Mardi Kuala Kangsar di talian 05-7733030.

Sumber: Bernama