15 Perkara Menarik Tentang Surabaya Yang Jarang Diketahui Pelancong!
TERKINIKalau ke Indonesia, destinasi seperti Jakarta, Bandung, Bali dan Yogjakarta sememangnya sangat terkenal di kalangan pelancong Malaysia.
Tapi bila sebut Surabaya, pasti ramai yang kurang tahu akan kewujudan kota itu.
Tapi bagi kaki hiking mereka akan familiar dengan nama Surabaya kerana di sini terletaknya Gunung Bromo iaitu gunung berapi aktif yang menjadi kegilaan ramai untuk menawan puncaknya.
Surabaya ialah ibu negeri wilayah Jawa Timur dan merupakan bandaraya kedua terbesar di Indonesia selepas Jakarta, dengan jumlah penduduknya melebihi empat juta orang.
Menariknya, Surabaya yang terkenal dengan sejarah kemerdekaan Indonesia hingga digelar sebagai Kota Pahlawan telah dinobatkan sebagai Kota Terbersih di Indonesia buat kali ketujuh berturut-turut!
Jom kita tengok lokasi percutian yang menarik di sana!
1. MONUMEN SUROBOYO
Korang tahu tak sebenarnya apa maksud nama ‘Surabaya’? Menurut cerita penduduk tempatan, kononnya dulu ada berlaku perkelahian antara ikan jerung bernama ‘Sura’ dan buaya bernama ‘Baya’. Mereka dikatakan saling berebut mangsa dan tanah jajahan. Kisah ini begitu terkesan di hati masyarakat hingga akhirnya dicantumkan nama mereka menjadi Surabaya!
Kisah tersebut dizahirkan pula dengan pembinaan replika berbentuk ikan jerung dan buaya yang diberi nama Monumen Suroboyo dan ia terletak di depan Kebun Binatang Surabaya. Jadi, pastikan korang selfie dengan dua ekor haiwan ni baru boleh claim korang dah jejak Surabaya! Hahaha…
2. TUGU PAHLAWAN
Tugu ini terletak betul-betul di tengah bandaraya Surabaya iaitu di Jalan Pahlawan dan berdekatan dengan Pejabat Gabenor Jawa Timur. Tugu ini menjadi bukti peristiwa pertempuran 10 November 1945 ketika pejuang Surabaya melawan Belanda yang ingin menjajah kembali Indonesia.
Setiap tahun, lokasi ini menjadi tumpuan warganya bagi memperingati peristiwa kemerdekaan mereka. Tugu setinggi 41 meter ini juga dilengkapi dengan koleksi-koleksi patung, senjata serta model 3D ketika zaman peperangan.
3. HUTAN BAMBU & TAMAN SAKURA
Hutan Bambu dan Taman Sakura ini berkonsepkan taman dalam bandar dan buat korang seakan berada di Jepun. Ini merupakan lokasi terbaik di Surabaya untuk korang yang gila bergambar. Susun atur buluh dan bunga-bungaan yang berwarna-warni sememangnya boleh buat gambar korang nampak cantik.
4. TAMAN PELANGI
Kalau korang nak jalan-jalan waktu malam di Surabaya korang kena singgah ke Taman Pelangi ini. Dari jauh lagi korang akan nampak dah pancaran lampu berwarna-warni daripada 31 batang tiangnya yang direka melengkung seakan-akan daun. Kanak-kanak paling gembira di sini kerana ada juga taman permainan dan air pancur yang juga kelihatan berwarna-warni.
5. TUNJUNGAN PLAZA
Tunjungan Plaza merupakan pusat beli-belah kedua terbesar di Surabaya selepas Pakuwon Mall. Ia mempunyai 6 buah plaza dengan yang pertama dibina pada tahun 1986 dan plaza terakhir siap pada 2017. Keenam-enam plaza ini saling berhubung dan mempunyai keluasan keseluruhan 160,000 meter persegi. Kalau korang shopping dekat sini memang sehari takkan cukup nak jelajah lebih 500 kedai pelbagai jenama tempatan dan antarabangsa. Fuhh...heaven untuk si kaki shopping!
6. JEMBATAN SURAMADU
Kalau di luar negara ada London Bridge, di Surabaya mereka ada Jembatan Suramadu iaitu jambatan terpanjang di Indonesia dan ketiga terpanjang di Asia Tenggara!
Panjang keseluruhan jambatan ini ialah 5, 438 meter serta melintasi Selat Madura yang menghubungkan Pulau Jawa di Surabaya dengan Pulau Madura dan kerana itu apabila digabungkan namanya menjadi ‘Suramadu’.
P/S: Bagi korang yang nak bergambar di atas jambatan itu dinasihatkan supaya berhati-hati kerana kadar kelajuan angin di atas sana sangat menakutkan hingga mencecah 45 kilometer sejam.
Masa terbaik kalau nak ke sana adalah pada waktu senja sebab korang akan berpeluang menikmati pemandangan matahari terbenam di bawah jambatan sambil dibuai angin laut yang sejuk.
Sebagai kudap-kudapan korang boleh cuba bebola daging yang dipanggil ‘Pentol Suramadu’ atau tauhu goreng dimakan bersama sambal kicap dan cili padi yang memang popular dalam kalangan masyarakat tempatan. Tapi bagi yang tak pandai makan pedas, hati-hati bila gigit cili tu ya!
7. SURABAYA NORTH QUAY
Satu lagi lokasi terbaik untuk korang menikmati pemandangan matahari terbenam adalah di Surabaya North Quay yang terletak di Pelabuhan Tanjung Perak. Di sini korang dapat melihat kapal-kapal kargo atau kapal persiaran merentasi lautan tanpa henti.
Pada waktu malam pula, anda dapat melihat pemandangan langit malam yang cukup memukau, bintang-bintang yang berkelipan dan kapal-kapal yang dihiasi lampu -- romantik sekali atmosferanya.
Tapi paling best kalau korang ‘hang-out’ dekat sini masa malam hujung minggu sebab ada persembahan muzik live! Jangan risau pasal makanan sebab di sini ada pelbagai gerai makanan yang korang boleh pilih. Tapi tak perlu pesan air sebab tiket masuk yang korang beli di pintu masuk telah diberi pakej dengan minuman sekali.
8. KAMPUNG PELANGI
Bukan di Busan dan Mexico sahaja yang ada perkampungan penuh warna-warni ini, di Indonesia juga terdapat kawasan perkampungan dengan warna-warna pelangi ini iaitu di Kampung Bulak, Kenjeran.
Rumah-rumah yang ada di pesisir pantai ini mempunyai atap dan tembok yang berwarna-warni, jadi lokasi ini wajib korang singgah untuk bergambar dan upload dalam Instagram. Memang "wow" sangat gambar!
9. MONUMEN KAPAL SELAM
Monumen Kapal Selam atau singkatannya MONKASEL adalah bukti bahawa Indonesia suatu ketika dulu pernah memiliki kekuatan ketenteraan yang digeruni di Asia. Malah, negara itu juga mempunyai bilangan kapal selam yang banyak memandangkan lokasinya yang dikelilingi lautan luas.
Bagi korang yang minat sejarah, MONKASEL wajib korang lawati sebab kapal selam sepanjang 76 meter ini yang diberi nama Kri.Pasopati-410 dibuat pada tahun 1952 dan berasal dari Rusia. Tiket masuk ke sini hanya berharga Rp 5,000 atau RM1.50 sahaja.
10. HOUSE OF SAMPOERNA
Siapa kat sini yang merokok? Korang mesti biasa dengar jenama ‘Sampoerna’ ni kan? Sampoerna merupakan sebuah perusahaan rokok lagenda dan yang tertua di Indonesia sejak zaman penjajahan Belanda lagi.
Jadi tak hairanlah kalau bangunan yang dibina pada tahun 1862 ini direka bentuk bercirikan kolonial Belanda. Masuk sahaja ke dalamnya, hidung korang akan terus disambut dengan bau tembakau yang kuat. Pelbagai pameran dapat dilihat di sini dari sejarah revolusi rokok, koleksi antik mesin percetakan kotak rokok dan peralatan makmal untuk menguji kualiti bahan rokok.
Di tingkat dua bangunan ini, korang boleh melihat secara ‘live’ bagaimana pekerja kilang Sampoerna begitu cekap dan cepat dalam melipat rokok. Bayangkan dalam masa sejam, seorang pekerjanya mampu menyiapkan 325 batang rokok! Laju, kan?
11. MASJID MUHAMMAD CHENG HOO
Masjid yang terletak di Pandaan ini mempunyai reka bentuk yang sungguh unik dengan warna-warna terang seperti merah, biru, hijau, dan kuning mendominasi sebahagian besar rekaannya. Siapa sangka bangunan yang kelihatan seperti tokong ini rupa-rupanya adalah sebuah masjid yang menggabungkan seni bina China dan tradisional Jawa.
Ia diberi nama Masjid Muhammad Cheng Hoo sebagai penghormatan kepada seorang laksamana muslim dari China yang bernama Cheng Hoo kerana menyampaikan ajaran agama Islam di daerah Surabaya ini.
12. SELECTA
Berkunjung ke Selecta di daerah Malang ini ibarat melawat Cameron Highlands. Di sini cuacanya sejuk dan dingin kerana terletak di tanah tinggi. Banyak tarikan yang boleh dinikmati seisi keluarga antaranya taman tema air, flying fox, sky bike, rollercoaster, akuarium bersaiz gergasi dan taman bunga. Tiket masuk berharga Rp 25,000 seorang.
13. PETIK APEL BATU
Kalau di Cameron Highlands terkenal dengan aktiviti petik strawberi, di Malang ini pula popular dengan aktiviti memetik epal atau disebut ‘apel’ oleh masyarakat tempatan.
Jadi, selepas berhibur di Selecta, sebelum turun korang jangan lupa untuk singgah di mana-mana kebun epal yang ada di sepanjang jalan dan antara kebun yang mempunyai kualiti buah epal terbaik adalah di kota Batu ini.
P/S: Kalau ke sini korang akan dikenakan bayaran Rp 50,000 setiap seorang dan diberikan sehelai plastik beg yang besar. Korang boleh makan epal di dalam kebun itu sebanyak mana yang korang nak tanpa dikenakan caj tambahan. Tapi, kalau korang petik buahnya melebihi berat yang dibenarkan korang dikehendaki membayar epal tersebut mengikut harga per kilogram.
Buah epal di Malang ni sedikit berbeza dengan epal yang selalu kita makan di Malaysia. Bentuknya sedikit kecil dan berwarna putih kekuningan. Tapi, sekali korang gigit buahnya rasa sangat manis dan rangup! Memang terbaik apel batu ini!
14. BAKSO KLENGER SURABAYA
Bakso merupakan menu terkenal bagi masyarakat Jawa Timur. Ia merupakan hidangan mee dengan kuah sup dan dilengkapi dengan bebola daging kecil.
Tapi kalau korang singgah makan di Bakso Klenger ini jangan terkejut kalau korang nampak ada pelanggan yang memesan bakso dengan bebola daging sebesar kepala manusia! Ya, sebab di sini terdapat 6 saiz bebola daging dengan yang terbesar berdiameter 40 cm dan berharga Rp 300,000.
P/S: Di Surabaya juga korang akan jumpa dengan pelbagai terma makanan yang mengerikan seperti ‘Pentol Mercun’ iaitu bebola daging yang dalamnya diisi dengan sambal cili serta ‘Bakso Setan’ yang melambangkan bakso tersebut diletakkan sambal cili dengan tahap kepedasan paling maksimum. Jadi, berhati-hati bila memesan bakso di sana ya!
15. LAPIS KUKUS PAHLAWAN
Kek Lapis Kukus Pahlawan ini adalah ole-ole Surabaya yang mesti korang bawa balik. Ia ditawarkan dalam 4 perisa berbeza iaitu original dan chocopandan (Rp 25,000) manakala brownies dan Terang Bulan (Rp 29,000).
Kek kukus ini rasanya sangat lembut, sedap dan membuat kita ketagih ingin merasa kesemua varian yang ditawarkan.
Tapi, sebaiknya korang beli kek kukus ini bila nak dekat tarikh penerbangan pulang sebab ia mempunyai tarikh luput hanya dalam tempoh seminggu. Kalau korang beli dengan kuantiti yang banyak mereka akan siap-siap bungkuskan kek korang dalam kotak dengan tali agar mudah dibawa naik dalam kapal terbang.
Ada banyak kedai yang jual kek lapis ini, di Lapangan Terbang Antarabangsa Surabaya pun ada jadi korang tak perlu risau kalau tak sempat nak beli ole-ole untuk kenalan di Malaysia.
TIPS: Di Surabaya lebih mudah kalau korang menggunakan aplikasi Grab Car. Bukan sahaja lebih selamat dan selesa bahkan harganya juga sangat murah berbanding ‘Gojek’ atau Grab Bike! Mungkin disebabkan penduduk Surabaya sudah terbiasa menaiki motor hingga Gojek di sana menaikkan harga perkhidmatan pun mereka masih tetap setia menggunakannya.