Syoknya Jalan-Jalan Atas 'Jejantas Rimba' FRIM Tengok View KL!
TRAVELBagi warga kota dan penduduk Lembah Klang yang sukakan dengan kehijauan alam semulajadi serta mencari tempat riadah menarik di hujung minggu -- ini ada 1 pilihan terbaharu untuk anda cuba iaitu "Forest Skywalk" di FRIM, Taman Botani Kepong.
Forest Skywalk atau lebih dikenali sebagai Jejantas Rimba ini telahpun dibuka untuk kunjungan orang ramai sejak 31 Ogos lalu.
Untuk makluman anda, Jejantas Rimba itu berukuran 18 hingga 50 meter tinggi dan 250 meter panjang, bahkan ianya dibina menggunakan bahan aluminium sebagai struktur utama serta diperkukuhkan dengan ‘guy wire’.
Menariknya apabila anda berada di atas jejantas tersebut, anda bukan sahaja dapat menghirup udara segar malah berpeluang menikmati pemandangan indah keseluruhan Taman Botani Kepong, hutan FRIM yang juga merupakan hutan buatan manusia serta sekitar kawasan Kepong dan Kuala Lumpur.
Manakala jika anda berdiri di atas menara tinjau setinggi 50 meter pula, pemandangannya adalah lebih menakjubkan apabila anda dapat melihat panorama sejauh lebih kurang 30 km serta bangunan-bangunan pencakar langit di sekitar Kuala Lumpur dan Petaling Jaya seperti Menara KLCC, Menara KL, Menara Tun Razak Exchange!
Butiran lanjut termasuk waktu operasi Jejantas Rimba FRIM adalah seperti berikut:
Isnin-Ahad: 8.30 pagi–4.30 petang
Jumaat: 8.30 pagi–12.15 petang & 2.45–4.30 petang
Kemasukan terakhir: Sejam sebelum tutup
Lokasi: Forest Skywalk - FRIM [Waze/ Google Maps]
Bilangan pengunjung setiap hari: Maksimum 150 orang
Perlu diingatkan jika berkunjung ke sini, anda perlu memakai pakaian terutamanya kasut yang sesuai serta mematuhi segala SOP kesihatan yang digariskan semasa lawatan.
Selain bayaran tiket ‘Forest Skywalk’ -- terdapat juga caj parkir (RM5), kemasukan Taman Botani Kepong (RM 1) dan kamera DSLR (RM5) turut dikenakan.
Harga tiket pula adalah seperti berikut:
Pelajar (umur 7-17 tahun): RM 8
Kakitangan FRIM: RM 8
Warga emas: RM 10
Dewasa: RM 15
Caj tambahan untuk menara 50 meter (terhad kepada mereka yang berusia 13 tahun ke atas): RM 5
Kanak-kanak berusia 6 tahun ke bawah tidak dibenarkan menyertai aktiviti ini.
Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan yang ingin dikemukakan, boleh menghubungi :-
- Pusat Informasi Pelawat (VIC): [email protected]/
- 03-6279 7592/7596/7649
Sumber: FRIM