"Kembara Mencari Kembali Kalamullah Yang Hilang " - Lelaki Diuji Hilang Semua Hafalan 30 Juz Al-Quran
GAYA HIDUPAntara nikmat yang sering kita lupakan adalah dikurniakan kesihatan yang baik oleh Allah SWT. Dengan sekelip mata, Allah boleh menarik nikmat yang ada dan seterusnya menjadi ujian yang hebat buat para hambanya.
Seorang lelaki kongsi akan perjuangannya dalam usaha mencari hafalan 30 Juz Al-Quran yang sebelumya segar di ingatan. Semuanya hilang apabila beliau diserang penyakit strok.
Kita baca coretan dan luahan oleh saudara yang menghadapi ujian besar ini.
Bismillah.
Catatan ini untuk saudara mara, sahabat handai dan semua yang mengenali diri ini.
Pada hari raya haji kedua bulan lalu, saya telah diserang dengan penyakit strok secara tiba-tiba. Hasil imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) menunjukkan bahawa berlaku pendarahan dalam otak.
Sewaktu hari-hari terawal ditimpa penyakit ini, saya kehilangan keupayaan bertutur sama sekali (aphasia). Saya juga kehilangan memori, kemampuan membaca (alexia), mengira (acalculia), menulis (agrafia) dan sebahagian badan tidak boleh berfungsi secara normal (apraxia).
Saya tidak mengenal ABC, alif ba ta, dan 1 2 3. Apa yang lebih mendukacitakan, hafazan al-Quran saya turut hilang sama sekali. Tiada sesisa walau satu ayat pun.
Secara ansur-ansur, keadaan kini saya lebih baik berbanding ketika diawal-awal dulu. Saya umpama bayi yang baru lahir yang perlu belajar segala-gala semula.
Saya masih dalam proses pemulihan. Saya belum boleh berkerja dan sedang bercuti sakit. Kemungkinan proses penyembuhan akan memakan masa yang lama. Mungkin berbulan-bulan, atau bertahun-tahun.
Keutamaan saya kini adalah cuba hafaz kembali al-Quran. Hal ini adalah suatu perkara yang sukar sebenarnya kerana saya tidak mampu bertutur seperti biasa. Saya terpaksa belajar mengeja alif ba ta dan kalimah-kalimah al-Quran dari kosong. Untuk membaca al-Quran seperti biasapun jadi satu cabaran yang sukar buat saya. Walaupun hal ini akan mengambil masa yang panjang, saya tetap optimis.
Doakan kembara saya ini.
Harta dan wang boleh dicari dan diusahakan. Namun, kesihatan yang baik sukar diganti. Moga saudara kita ini kembali pulih seperti biasa dan bersabar menghadapi ujian.