'Kopi Hutan' - Kafe Tertinggi Di Pulau Pinang

MAKAN-MAKAN
August 04, 2020 - 02:39 PM


Kata orang jika bercuti ke Pulau Pinang, tak sah kalau tak naik Bukit Bendera.

Tapi sekarang jika dah naik ke Bukit Bendera, tak lengkap pula kunjungan korang kalau tak menikmati secawan kopi di 'Kafe Tertinggi Di Pulau Pinang' iaitu KOPI HUTAN!

Terletak di destinasi pelancongan terkenal di Pulau Mutiara itu, Kopi Hutan yang diuruskan oleh Monkey Cup Garden tersebut berada di paras ketinggian 730 meter dari permukaan laut dan menjadikannya kedai kopi tertinggi di negeri berkenaan.

Menghabiskan masa bersantai di kafe itu sambil menikmati secawan kopi dan beberapa hidangan manisan mulut dengan dikelilingi kehijauan hutan -- ternyata merupakan satu terapi terhebat bagi mendamaikan jiwa serta menenangkan fikiran daripada kesibukan kerja di kota.

Apatah lagi mengadakan sesi mengopi bersama rakan-rakan sambil menghirup oksigen segar dengan cuaca yang dingin, memang cukup santai!

Jika berkunjung ke Kopi Hutan ini, korang jangan lupa untuk memesan secawan kopi Arabica berharga RM8 yang dibancuh daripada biji kopi panggang yang berkualiti tinggi daripada 5 negara serta menghasilkan aroma rasa yang berbeza.

Tak lengkap hirupan kopi korang tanpa kehadiran hidangan pemanis mulut seperti cheesecake, kek coklat lava serta pelbagai perisa lain yang berharga RM12 setiap hirisan.

Bagi yang tidak gemarkan kek manis, korang juga boleh menggantikannya dengan makanan ringan lain seperti roti atau kerepek ubi kayu.

Kalau berkunjung ke kafe ini, pastikan korang tak melepaskan peluang untuk singgah di Monkey Cup Garden yang mempunyai koleksi pelbagai tumbuhan spesies Nephentes (Monkey Cup) yang ditanam di taman berlumut dengan dekorasi indah.

Terdapat spesies asli dan juga hibrid dari Malaysia, Indonesia, India, Filipina, dan negara-negara lain.

Akan ada pemandu pelancongan khusus yang menerangkan dan menunjukkan kepada korang semua jenis tumbuhan di sekitar taman tersebut.

Bayaran masuk ke Monkey Cup Garden ini adalah RM12 untuk dewasa dan RM6 bagi kanak-kanak.

Untuk ke Kopi Hutan dan taman ini korang boleh menggunakan perkhidmatan buggy yang disediakan di Upper Station di Bukit Bendera dengan bayaran RM30.

Rugi sekiranya korang menjejakkan kaki ke Bukit Bendera tapi tidak singgah ke lokasi istimewa Kopi Hutan ini bagi mencipta kenangan yang cukup mendamaikan bersama yang tersayang.

KOPI HUTAN, MONKEY CUP GARDEN, BUKIT BENDERA, PULAU PINANG

Waktu Operasi: Isnin - Ahad (9 Pagi - 6 Petang)

No Telefon: 012-428 9585

Facebook: Kopi Hutan 

Sumber: Penang Foodie

Destination: