Minggu Restoran Halal Korea 2019, Inilah Masa Terbaik Untuk Melancong Ke Korea

FOODIE
September 03, 2019 - 12:25 PM


Korea Tourism Organization (selanjutnya "KTO") akan menganjurkan "Minggu Restoran Halal Korea 2019," sebuah acara promosi yang diwujudkan untuk menarik pengunjung beragama Islam ke Korea, selama dua bulan mulai 1 September hingga 31 Oktober.

Sejak operasi pertamanya pada tahun 2016 sehingga acara keempatnya tahun ini, acara tahunan ini adalah untuk mempromosikan pelancongan Korea kepada pelancong beragama Islam yang semakin meningkat kepentingannya dalam pasaran pelancongan global.

Diskaun Istimewa untuk Pelancong Beragama Islam sempena "Minggu Restoran Halal Korea 2019"

Promosi Minggu Restoran Halal Korea dimulakan sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengurangkan kesukaran berkaitan makanan, yang sering dihadapi oleh pelancong beragama Islam disebabkan oleh kekurangan restoran makanan Halal di Korea, dan untuk meningkatkan infrastruktur pelancong Korea untuk memenuhi keperluan pelancong beragama Islam dengan lebih baik. Melalui tinjauan tentang corak perjalanan pelancong beragama Islam semasa mereka berada di Korea, KTO menyatakan secara khusus isu makanan, yang didedahkan menjadi masalah utama yang dialami oleh ramai pelancong beragama Islam kerana kekurangan restoran yang menghidangkan makanan Halal di Korea. Promosi Minggu Restoran Halal Korea diwujudkan untuk menyediakan pelancong beragama Islam dengan maklumat tentang tawaran Halal dan diskaun yang boleh dipercayai, seraya dapat mengukuhkan imej Korea sebagai destinasi pelancong yang mesra umat Islam. Acara ini juga bertujuan untuk menggabungkan kecemerlangan hidangan makanan Korea dan kebolehsuaiannya dengan keperluan Halal. 

Pengunjung-pengunjung ke Korea sepanjang tempoh ini, kedua-dua pelancong beragama Islam dan pelancong asing lain, akan mendapat akses kepada diskaun dan faedah-faedah lain daripada "Restoran Mesra Umat Islam" yang ditetapkan-KTO dan tapak pelancongan utama. Acara tahun ini akan melibatkan 152 restoran mesra umat Islam dan 40 tapak pelancongan utama serta program pengalaman bagi memberi pelbagai faedah yang lebih besar berbanding acara tahun lalu. Senarai organisasi yang mengambil bahagian dan diskaun yang disediakan boleh didapati di laman web rasmi acara ini (www.hrwkorea.or.kr). 

Pengunjung-pengunjung juga akan mendapat akses kepada buku kupon Minggu Restoran Halal Korea melalui pejabat-pejabat KTO di kawasan-kawasan pelancong beragama Islam utama (Singapura, Kuala Lumpur, Jakarta, Bangkok, New Delhi, Dubai, Istanbul, Almaty). Buku kupon ini termasuk kupon diskaun yang boleh digunakan di restoran-restoran mesra umat Islam dengan nilai KRW 3,000 dan KRW 10,000 serta kupon untuk setiap tempat tarikan utama dan program pengalaman. Selain itu, 54 buah restoran mesra umat Islam akan menawarkan menu set istimewa semasa tempoh promosi dan diskaun kupon sehingga KRW 10,000. Kupon boleh dimuat turun daripada platform mudah alih dan laman web rasmi acara ini (www.hrwkorea.or.kr).

Permulaan musim luruh di Korea tiba pada bulan September dan Oktober, meninggalkan panas terik musim panas, yang menjadikannya musim yang menarik untuk pelancong memandangkan banyak festival dan acara memenuhi permintaan pengunjung asing semasa tempoh ini. Khususnya, acara-acara kebudayaan seperti Festival Seni Jalanan Seoul (SSAF, 3-6 Oktober) dan festival-festival K-Wave utama seperti Busan One Asia Festival (BOF, 19-25 Oktober) juga berlangsung semasa Minggu Restoran Halal Korea, lalu menjadikan acara ini sebagai masa yang paling sesuai untuk peminat beragama Islam K-Pop dan K-Wave, umumnya.

Korea Bergerak Pantas menjadi Destinasi Mesra Umat Islam

KTO telah mengiktiraf kepentingan dan pengaruh sektor pelancongan umat Islam dan melaksanakan pelbagai usaha untuk menarik lebih ramai pelancong beragama Islam ke Korea. 

Berusaha untuk terus meningkatkan bilangan restoran mesra umat Islam sejak tahun 2016 merupakan bahagian utama daripada usaha ini untuk menyelesaikan isu makanan, yang merupakan masalah paling penting yang dihadapi oleh pelancong beragama Islam di Korea. Atas sebab itu, restoran-restoran umat Islam di seluruh negara dibahagikan kepada empat kategori – Diperakui Halal, Diperakui Sendiri, Mesra Umat Islam dan Tanpa Khinzir – bergantung pada kriteria terperinci seperti penggunaan bahan-bahan Halal dan khinzir, untuk ditetapkan sebagai restoran mesra umat Islam. Bilangan restoran yang ditetapkan sebagai Restoran Mesra Umat Islam meningkat daripada 135 buah restoran pada tahun 2016 kepada 250 buah restoran menjelang akhir tahun 2018, lantas menyumbang kepada usaha untuk mengurangkan kesukaran yang sering dihadapi oleh pelancong beragama Islam dalam isu makanan.

Projek sokongan KTO juga termasuk penubuhan surau bergerak di kawasan pelancong di wilayah Jeju ("Tamnara Republic") untuk kemudahan menunaikan sembahyang oleh umat Islam, berserta sejadah tambahan di surau yang terletak di tapak-tapak pelancong utama dan hotel-hotel. Di samping itu, KTO berusaha untuk membangunkan pakej pelancong baharu yang dapat menampung pelancong beragama Islam dalam K-Wave dan lapangan lain selain pakej-pakej premium seperti pelancongan perubatan untuk menawarkan respons yang pelbagai kepada permintaan berbeza daripada pasaran umat Islam. 

Usaha-usaha ini membawa kepada reputasi Korea yang semakin meningkat sebagai destinasi mesra umat Islam. Menurut laporan GMTI (Indeks Perjalanan Umat Islam Global) 2019, Korea menduduki tempat ke-8 antara destinasi-destinasi bukan OIC. Melihatkan keadaan ini, bilangan pengunjung umat Islam tahunan ke Korea dijangka melebihi paras 1 juta buat julung kalinya pada tahun 2019. 

Destination: