Heavenly Jin, Shanghai - Restoran Atas 'Awan' Tertinggi Di Dunia, Kalahkan Burj Khalifa, Dubai

FOODIE
November 24, 2022 - 12:36 PM


Bagi anda yang ingin merasai pengalaman menjamu selera di 'Restoran Tertinggi Di Dunia' -- anda boleh ke Restoran Heavenly Jin yang terletak di tingkat 120, J Hotel, Menara Shanghai, China.

Restoran di hotel mewah tersebut yang turut menawarkan perkhidmatan butler peribadi 24 jam telah mendapat pengiktirafan Guinness World Records dengan ketinggian 556.36 meter (kira-kira 1,825 kaki) di atas tanah.

Malah sejak mula dibuka pada tahun lalu, restoran berkenaan telah mendapat sambutan amat menggalakkan daripada pelanggan seluruh dunia yang ingin merasai sendiri pengalaman menjamu selera di restoran yang lebih tinggi di atas awan.

Pengurus besarnya, Jenny Zhang berkata sejak dibuka, restoran itu telah dipuji oleh pelanggan kerana pengalaman dan perkhidmatan makan yang berkualiti tinggi.

Zhang menambah pencapaian itu juga bukti dedikasi pasukan pengurusan dan operasi Heavenly Jin.

Heavenly Jin, iaitu lebih 100 meter lebih tinggi daripada rekod sebelumnya 441.30 meter, yang dicatatkan pada 2011 oleh At.mosphere, terletak di tingkat 122, di Burj Khalifa Dubai.

Restoran Shanghai yang memecahkan rekod itu mempunyai dapur terbuka, tingkap-tingkap besar dan mural jubin mozek Itali sepanjang 30 meter yang menggambarkan Jalan Sutera, menurut hotel itu.

Pengunjung dihidangkan gabungan masakan Barat, Cina dan Jepun serta perkhidmatan minum petang.

Hotel mewah itu sendiri terletak di bangunan pencakar langit tertinggi di China dan kedua tertinggi di dunia selepas Burj Khalifa , dengan bilik di tingkat 86 hingga 98.

Laporan juga menyatakan lif tetamu menaiki bangunan pencakar langit itu menyerupai lingkaran dengan kelajuan 18 meter persaat ke bilik mewah di Hotel J5 165.

Hotel berkeluasan 632 meter itu terletak di aras paling atas di Menara Shanghai di daerah kewangan bandar berkenaan, bangunan kedua tertinggi di dunia selepas Burj Khalifa di Dubai.

Pelanggan juga boleh menikmati salah satu daripada tujuh restoran, bar, spa, kolam renang di aras 84, dan semua kemudahan hotel terkemuka itu.

Sebelum ini pernah dilaporkan, sempena meraikan pembukaan J Hotel menawarkan 'kadar istimewa' bernilai 3,088 yuan (RM1,986.67) semalam, tetapi harga 34 biliknya jauh lebih tinggi.

Bermalam di 'J Suite', dilengkap candelier kristal dan sauna, bernilai lebih 67,000 yuan (RM43,092.79). 

Sumber: Berita Harian

Destination: