"Mesti Pening Nak Masak Apa Dengan Daging Korban-kan?" - Ini 11 Masakan Berasaskan Daging Yang Simple!

FOODIE
July 03, 2023 - 03:53 PM


Dah tiba masanya kita akan makan daging sepuas-puasnya bila tiba Hari Raya Haji yang disambut tempoh hari. Bukan sekadar daging saja yang kita terima, bahkan ada juga bahagian-bahagian lain daripada seekor lembu yang boleh dijadikan masakan.

Sepanjang satu bulan ni mesti korang terfikir untuk masak makanan berasaskan daging dan bahagian-bahagian lain yang ada pada seekor lembu. Lambakan daging korban yang diterima buatkan korang pening masakan apa yang sesuai untuk dimasak dan berlainan menu.

Macam-macam masakan korang boleh cuba dengan lebihan daging korban yang ada. Daging kalau disimpan elok akan tahan berbulan-bulan.

Ini min sediakan 10 resipi masakan berasaskan daging buat korang yang cukup simple. Tak perlu banyak bahan dan tidak melecehkan. Orang bujang pun boleh masak tau!

1. Daging Dendeng

Daging dendeng ni tahan lama sebab tiada penggunaan santan dan dimasak sehingga kering. Rasanya yang seakan rendang kering tapi pastinya bukan rendang. Rasa yang luar biasa, mesti makan pun berselera.

Bahan-bahan:

  • Daging yang dihiris nipis
  • Kicap pekat manis
  • Sos tiram
  • Garam
  • Gula melaka
  • Minyak untuk menggoreng & menumis

Bahan tumis:

  • Cili kering yang (hiris)
  • Cili merah (hiris)
  • Bawang merah (hiris)
  • Bawang putih (hiris)
  • Halia muda (hiris)
  • Serai (hiris)

Cara memasak: 

  1. Daging dicuci dan ditoskan. Kemudian gaulkan daging dengan kicap, sos tiram dan perapkan sekurang-kurangnya 30 minit.
  2. Panaskan minyak, goreng semua bahan tumis hingga garing, kemudian angkat dan tepikan.
  3. Setelah sejuk kisarkan bahan yang telah digoreng tadi.
  4. Panaskan minyak dalam kuali lain. Kemudian goreng daging hingga habis (tidak terlampau garing)
  5. Keluarkan sebahagian minyak dan tinggalkan sedikit untuk menumis bahan kisar dan tumis sehingga sehingga pecah minyak.
  6. Perasakan dengan garam dan gula melaka secukup rasa. Masukkan daging yang digoreng dan gaul hingga sebati.

2. Sambal Daging Pekasam

Kalau takde selera, hidangan sambal daging pekasam ni boleh buat korang terliur. Mungkin kedengaran simple tapi sangat membangkitkan selera korang. Mungkin berkali-kali tambah bila dah makan sambal daging pekasam ni.

Bahan-bahan:

  • Daging pekasam (hiris)
  • Bawang besar (hiris)
  • Gula
  • Garam
  • Minyak masak

Bahan kisar: 

  • Cili merah
  • Cili padi
  • Bawang merah
  • Bawang putih
  • Halia muda
  • Serai

Cara memasak:

  1. Panaskan minyak dalam kuali, tumiskan bahan kisar hingga wangi dan pecah minyak.
  2. Kemudian masukkan daging pekasam, kacau rata sehingga daging lembut dan layu.
  3. Masukkan hirisan bawang besar, gula secukup rasa dan garam (jika perlu). Teruskan kacau sehingga kering.

3. Pepes Daging

Kalau korang seorang yang penggemar daging, ini menu yang patut korang cuba masak sebab resipinya ringkas sangat. Nampak je penuh dengan rempah ratus tapi senang je nak buat. Bau pepes daging ini cukup wangi yang menjadikan hidangan ini begitu enak.

Bahan-bahan:

  • Daging yang direbus 3/4 masak.
  • Daun pisang secukupnya

Bahan kisar:

  • Lengkuas
  • Halia
  • Serai
  • Cili besar merah
  • Kunyit hidup
  • Gula dan garam secukupnya

Cara memasak:

  1. Kisar kesemua bahan dan gaul bersama daging yang telah direbus
  2. Kemudian balut dengan daun pisang
  3. Bakar selama 10 minit
  4. Sedia dinikmati

4. Daging Masak Sos Tiram

Nama pun daging masak sos tiram, pastilah bahan utamanya adalah sos tiram. Kalau guna daging batang pinang, goreng sekejap je dah lembut dagingnya. Tapi ini optional. Guna bahagian lain pun boleh je.

Bahan-bahan:

  • Daging
  • Cili besar merah (hiris)
  • Bawang besar (hiris)
  • Bawang putih (hiris)
  • Halia (hiris)
  • Sos tiram
  • Minyak untuk menumis

Cara memasak: 

  1. Panaskan minyak dalam kuali. Masukkan bahan hiris. Bila sudah naik bau, masukkan daging berserta sedikit air. Gaul sebati.
  2. Masukkan sos tiram dan biarkan ia masak seketika. Gaul sekata, angkat dan sedia dinikmati.

5. Daging Goreng Cili Padi 

Menu daging goreng cili padi cukup mudah dan cepat untuk disediakan buat korang yang sangat sibuk dan tiada masa untuk duduk di dapur lama-lama. Masakan ni lagi cepat disediakan kalau bahan-bahan semua dah siap prepare kat dapur.

Bahan-bahan: 

  • Daging (direbus kemudian digoreng dengan kunyit)
  • Cili padi (kisar)
  • Bawang merah (kisar)
  • Bawang putih (kisar)
  • Kentang (potong wedges dan digoreng)
  • Garam dan gula secukupnya
  • Minyak untuk memasak

Cara memasak: 

  1. Panaskan minyak di dalam kuali. Masukkan bahan kisar dan setelah tumisan garing serta naik bau, masukkan daging yang telah digoreng tadi.
  2. Masukkan sedikit air dan akhir sekali masukkan kentang yang dah digoreng jika mahu.
  3. Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa.

6. Sambal Paru

Mesti ramai peminat sambal paru, kan? Dapat pula yang garing, pedas pedas ada manis sikit memang sedap! Selain sedap dijadikan lauk dan dimakan dengan nasi putih, sambal paru juga menjadi kegemaran apabila makan bersama nasi lemak. 

Bahan-bahan: 

  • Paru yang dah direbus sehingga empuk (hiris)
  • Cili kering
  • Bawang merah kecil
  • Bawang putih
  • Sedikit belacan
  • Kicap manis
  • Garam atau perasa MSG
  • Gula 

Cara memasak: 

  1. Kisar cili kering, bawang merah, bawang putih dan belacan hingga halus.
  2. Tumis bahan kisar tadi hingga naik bau kemudian masukkan cili kering yang telah dikisar. Tumis hingga pecah minyak.
  3. Masukkan garam, gula dan perasa MSG serta sedikit kicap kemudian kacau sebati.
  4. Masukkan paru dan biarkan hingga kuah kering kemudian tabur bawang besar yang dihiris.
  5. Seimbangkan rasa dan boleh dihidang.

7. Daging Masak Merah Ala Thai

Cara memasak dan penyediaan daging masak merah ala Thai sangat ringkas dan ini masakan paling menjadi pilihan orang-orang bujang termasuk min. Nak mudah dan nak kelihatan sama seperti di kedai Tomyam, rebus dahulu daging tersebut dengan pewarna merah atau sirap ros.

Bahan-bahan:

  • Daging secukupnya
  • Minyak
  • Bawang putih yang dicincang kasar
  • Cili kisar
  • Sos cili
  • Sos tomato
  • Sos tiram
  • Lobak merah (hiris nipis)
  • Cili padi yang dibelah dua
  • Sos ikan
  • Air rebusan daging
  • Bawang holland (hiris bulat)
  • Daun limau purut

Cara memasak:

  1. Panaskan minyak, kemudian goreng hirisan daging yang direbus sehingga garing sedikit, angkat dan ketepikan.
  2. Keluarkan sedikit minyak. Tumis bawang putih sehingga kekuningan serta masukkan cili kisar dan masak hingga pecah minyak.
  3. Masukkan daging yang digoreng tadi dan kacau-kacau sekejap.
  4. Masukkan sos cili, sos tomato dan sos tiram.
  5. Masukkan hirisan lobak merah, cili padi, sos ikan dan air rebusan daging. Masak sekejap sehingga bahan bergaul sebati.
  6. Masukkan tomato, hirisan bawang holland dan daun limau purut. 

8. Daging Paprik

Antara menu yang cukup mudah nak buat ialah daging paprik. Bila dah ada lauk daging paprik ni tak perlu lagi lauk sayur yang lain kerana masakan ini sudah cukup kombinasi yang ada. 

Bahan-bahan:

  • Daging
  • Bawang puith (ketuk)
  • Bawang merah besar (hiris)
  • Lobak merah, baby corn, bunga kobis
  • Sos cili
  • Sos ikan
  • Sos tiram
  • Daun limau purut
  • Serai 
  • Halia
  • Gula dan garam secukup rasa

Cara memasak:

  1. Rebus daging hingga empuk dan simpan air rebusan tersebut
  2. Tumis bawang putih, bawang merah, serai dan halia
  3. Masukkan sos cili dan sos tomato, sos tiram dan air rebusan daging tadi
  4. Masukkan lobak merah dan daun limau purut
  5. Masukkan daging
  6. Masukkan baby corn dan bunga kobis
  7. Gula dan garam secukupnya. Biarkan mendidih dan masukkan bawang merah
  8. Angkat dan sedia untuk dihidang

9. Daging Masak Belacan

Kepada yang gemarkan belacan pasti akan tertarik dengan lauk ini. Ianya sesuai untuk dihidangkan pada bila-bila masa bersama nasi putih tidak kira waktu pagi, siang mahupun malam. Dijadikan lauk harian pun tak jemu jika makan.

Bahan-bahan: 

  • Daging (potong nipis)
  • Bawang besar
  • Bawang putih
  • Cili padi
  • Cili merah
  • Belacan
  • Bawang besar (mayang)

Cara memasak:

  1. Rebuskan daging terlebih dahulu kemudian potong nipis.
  2. Tumiskan bawang dan cili padi.
  3. Masukkan belacan yang telah dikisar sehingga halus sampai naik bau
  4. Masukkan daging dan perasakan dengan garam

10. Daging Masak Halia

Mungkin masakan ini tidak sepopular daging masak kunyit dan daging blackpepper. Tapi tahukah korang halia sangat elok untuk kesihatan kita. Selain dari enak, ia juga kaya dengan antioksidan. Bukan sahaja sedap dimakan pada waktu sejuk dan hujan, daging masak halia juga sedap dimakan sorang-sorang. Tak perlu berkongsi.

Bahan-bahan perapan:

  • Daging
  • Sedikit madu
  • Lada sulah
  • Garam
  • Minyak bijan
  • Sos tiram
  • Kicap masin
  • Kicap manis
  • Tepung jagung

Cara memasak:

  1. Gaul bahan perapan dengan daging dan tinggalkan selama 20 minit sekurang-kurangnya
  2. Goreng bawang putih, halia dan cili kering sampai masak
  3. Masukkan daging perap tadi, kacau sebati dan goreng sekejap
  4. Masukkan sedikit air dan goreng sampai daging masak dan air kering
  5. Masukkan daun bawang, goreng sekejap dan terus tutup api.

Daging Blackpepper

Masakan ini ada bermacam-macam versi mengikut kepada kerajinan dan kelengkapan bahan. Tapi min bagi korang yang simple je dan senang untuk dimasak bila-bila masa. Daging yang berbaki dalam peti ais tu elok ikut resipi yang ringkas ni.

Bahan-bahan:

  • Daging
  • Bawang putih (ketuk)
  • Halia (hiris)
  • Sos blackpepper
  • Sos tiram
  • Lada hitam kisar
  • Kicap
  • Garam dan perasa
  • Bawang holland
  • Capsicum
  • Tepung jagung yang dibancuh dengan air

Cara memasak:

  1. Rebus daging terlebih dahulu sehingga separuh masak
  2. Panaskan minyak dan tumis bawang putih serta halia dalam kuali yang lain
  3. Masukkan sos dan lada hitam kisar
  4. Masukkan daging diikuti dengan kicap
  5. Perasakan dengan garam dan sedikit perasa MSG
  6. Masukkan bawang holland dan capsicum.
  7. Tuang tepung jagung yang sudah dibancuh
  8. Kacau dan tunggu hingga daging masak