10 Lokasi Bufet Ramadan Yang Syok Untuk Berbuka Di Lembah Klang

FOODIE
April 16, 2021 - 04:35 PM


Tahun lepas kita berpuasa di dalam PKP, jadi agak suram dan menyedihkan sedikit. Waktu itu kita semua kena berbuka di rumah, dan tak dapat pun nak beli makanan dari bazar Ramadan, apatah lagi nak berbuka di hotel, ataupun di restoran bersama keluarga dan kawan-kawan. 

Berbeza dengan tahun ini kebanyakan restoran dan hotel sudah kembali beroperasi, dan tahun ini kebanyakan hotel kembali dengan promosi bufet Ramadan yang pasti membuatkan korang terliur, hehe. 

Ini dia 10 lokasi menarik untuk berbuka puasa dengan bufet Ramadan: 

 

1. 'Bazaar Abang Jaguh' Hilton Kuala Lumpur

Hilton Kuala Lumpur kembali dengan bufet Ramadan di Vasco dengan pelbagai makanan yang disediakan pasukan cef yang menggelar diri mereka sebagai Abang Jaguh. Menariknya, setiap cef mempunyai kepakaran mereka di setiap stesen mereka seperti, Hirup-hirup Sup Berapi Abang Adan, Cedok-cedok Abang Jham, Salai-salai Abang Karim, Celup-celup Abang Syam, Golek-golek Abang Sharil dan Manis-manis Rasa Abang Din.

Hidangan yang patut korang cuba di Hilton Kuala Lumpur adalah tulang rusuk, rendang tok daging rusa, itik salai, kambing bakar kukus berempah dan baklava. Bukan itu je, Hilton Kuala Lumpur turut menyediakan pelbagai makanan Cina, India, Thailand dan barat bagi yang inginkan kelainan ketika berbuka puasa.

Kalau korang sampai ke sini, korang kena kunjung ke gerai Pok Din Rambai yang menyediakan cucur jawa gula Melaka secara terus kepada pengunjung.

Bufet Ramadan Abang Jaguh bermula 13 April hingga 11 Mei 2021 dari pukul 6.30 petang hingga 10.30 malam dengan harga RM188nett (dewasa) dan RM100nett (kanak-kanak berumur 6-11 tahun).

 

2. Air tangan Cef Ismail di Restoran Rebung

Siapa tak kenal Cef Ismail kan? Kalau korang nak rasa air tangan cef selebriti terkemuka negara ni, rebut peluang untuk berbuka di Restoran Rebung, Ramadan ini. 

Restoran Rebung menyediakan lebih 90 jenis makanan termasuk masakan signature Chef Ismail iaitu daging salai masak lemak cili api, ikan patin masak tempoyak, dan pari masak asam pedas .

Demi memastikan mereka patuh pada SOP, Restoran Rebung boleh memuatkan 300 tetamu pada satu-satu masa selain menyediakan ruang khas.

Harga dikenakan juga cukup berpatutan iaitu RM84.80nett (dewasa), RM53nett (kanak-kanak) dan promosi bufet berlangsung dari 13 April 2021 hingga 11 Mei 2021.

 

3. 'Selera Ibunda' Thyme Out Café by Equatorial

Thyme Out Cafe by Equatorial buat pertama kalinya mengadakan bufet Ramadan yang mengetengahkan konsep 'Selera Ibunda' menerusi 100 hidangan berbuka yang menggamit memori di kampung halaman.

Antara yang paling mengiurkan sudah tentu menu sup gear box yang direneh selama 12 jam bersama rempah istimewa selain daging tetel gulai kawah yang biasanya boleh ditemui ketika kenduri kahwin.

Selain itu, antara juadah yang menjadi perhatian termasuk kambing masak hitam, daging salai masak lemak, udang galah asam lemak dan kari kepala ikan menanti pengunjung sepanjang Ramadan ini.

Korang juga akan dihidangkan dengan persembahan ghazal selain suasana elegan di Bangunan AICB, tempat terletaknya Thyme Out Café by Equatorial.

Bufet Ramadan bermula 14 April hingga 9 Mei 2021 dan harga bufet adalah RM155 nett (dewasa) dan RM57 nett (kanak-kanak berumur 6-12 tahun).

 

4. Citarasa mewah di Pullman KLCC

Bagi korang yang mencari kelainan dan kemewahan, boleh cuba berbuka puasa di Pullman KLCC yang menghidangkan pelbagai seleksi makanan tempatan dan antarabangsa.

Antara tarikan yang korang wajib cuba ialah, nasi mandy kambing dan Japanese maki rolls, selain terdapat pelbagai stesen bakar, goreng-goreng mengikut citarasa korang.

Menariknya, bagi yang ingin membeli hidangan bersahur, Pullman KLCC turut menyediakan Sahur in Bento yang hanya berharga RM22nett.

Bufet Ramadan di Sedap Restaurant dibuka sepanjang Ramadan dengan harga RM168nett (dewasa) dan RM84 (kanak-kanak 6 - 12 tahun).

 

5. Semarak Rasa Ramadan WTCKL

Seperti tahun-tahun sebelum ini, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) masih lagi mengekalkan konsep masakan tradisi Melayu bertemakan “Semarak Rasa Ramadan”.

Sebanyak 200 jenis juadah akan disajikan kepada para pengunjung sepanjang bufet berlangsung di Aras 2, Ruang Legar Putra bermula 15 April 2021 ini. Istimewanya Ramadan kali ini, WTCKL akan berkolaborasi bersama chef terkenal, Chef Anis Nabilah yang akan tampil berkongsi resipi air tangannya.

Antara resipi yang bakal dikongsikan ialah murtabak lasagna, biryani kambing/ ayam, kambing ala Maghribi dengan kurma dan kuskus dan rendang tulang rusuk lembu sebagai tarikan utama bufet Semarak Rasa Ramadan tahun ini.

Antara menu yang bakal memikat selera korang pada tahun ini ialah ikan kerisi goreng sambal hijau, kambing rendang minang, daging gulai kawah, ikan patin tempoyak daun kesom, sotong masak kari dengan nanas dan ayam masak kicap pedas dengan suhun. Selain itu, bubur lambuk, asam pedas dan kambing goreng berempah turut dihidangkan.

Bufet Ramadan boleh didapati dengan harga serendah RM80.00 seorang untuk dewasa dan RM45.00 seorang untuk kanak-kanak yang berumur dari 7 hingga 12 tahun dan warga emas yang berumur 60 tahun ke atas.

 

6. Pavilion Hotel Kuala Lumpur

Pavilion Hotel Kuala Lumpur menampilkan konsep Muhibbah Malaysia dalam meraikan bulan mulia ini dengan bufet Ramadan yang bertempat di The Courtyard.

Pavilion Hotel KL menghidangkan juga konsep muhibbah yang boleh dinikmati oleh semua kaum termasuk ayam golek, bubur lambuk, rendang tok, char kway teow Penang termasuk pelbagai kuih muih seperti apam balik, ais kacang, cendol dan tidak ketinggalan raja buah, durian!

Tidak hanya pelbagai menu, terdapat pelbagai stesen yang membolehkan pelanggan melihat sendiri cef berpengalaman menyediakan hidangan secara langsung.

Bufet Ramadan di Pavilion Hotel Kuala Lumpur akan bermula pada 16 April sehingga 12 Mei 2021 dengan harga RM148 (dewasa) dan RM74 (kanak-kanak dan warga emas).

 

7. Pelbagai menu di Cinnamon Coffee House, One World Hotel PJ

Cinnamon Coffee House di One World Hotel Petaling Jaya menyediakan pilihan menu yang pelbagai untuk santapan korang ketika berbuka, antaranya, sup gear box, bubur lambuk, ayam balado, udang sambal petai, daging gulai lemak, paru goreng bercili, patin gulai tempoyak, sayur lodeh suhun, nasi biryani dan dalca tulang kambing.

Bukan sahaja menu tempatan, mereka juga menghidangkan seleksi antarabangsa seperti sashimi, tempura, pasta, seafood lasagne, chicken roulade, minute steak, shepherd pie, dan lamb sausage.

Bagi mengakhiri menu utama, rasakan keenakan bubur pengat pisang, pulut serawa durian, cendol jagung, kek batik, panna cotta, apple pie dan sebagianya.

Promosi berbuka di Cinnamon Coffee bermula pada 13 April hingga 12 Mei 2021 dengan harga RM158nett (dewasa) dan RM79nett (kanak-kanak).

 

8. 'Lagenda P. Ramlee' Hilton Petaling Jaya

Berlainan dengan Hilton Kuala Lumpur, Hilton Petaling Jaya menawarkan pengalaman berbuka puasa di Paya Serai dengan hidangan bufet Ramadan bertemakan seniman terulung, Tan Sri P. Ramlee.

Hilton PJ menghidangkan lebih 300 jenis menu termasuk makanan kegemaran bintang lagenda itu, selain mengambil inspirasi dari nama filem dan lagu popular beliau bagi menamakan gerai-gerai yang menyediakan bufet mereka. 

Korang boleh singgah ke Mamak Corner Simpang Enam Komtar untuk mee goreng stail Pulau Pinang selain Ali Baba Bujang Lapok untuk makanan berkonsepkan arab, stesen ais krim potong Ayu 20 Sen dan segelas teh tarik daripada gerai Ohh Manisku.

Lebih menarik, suasana di Paya Serai turut dihiasi pelbagai barangan ikonik Tan Sri P. Ramlee seperti mesin taip, pakaian, beca dan sebagainya. Tidak ketinggalan, ketika menjamu selera pelanggan akan dihidangkan dengan filem dan lagu popular seniman itu.

Bufet itu dibuka kepada pelanggan bermula 13 April hingga 12 Mei 2o21 dari pukul 6.30 petang hingga 10 malam dengan harga tiga harga promosi iaitu RM180nett (dewasa) dan RM94nett (kanak-kanak) dari 16 April-8 Mei 2021; RM141nett (dewasa) dan RM70.50nett (kanak-kanak) dari 13 April-15 April 2021 dan 9 Mei dan 12 Mei 2021.

 

9. Sajian Merentasi Zaman, Four Seasons Hotel

Untuk korang yang ingin merasai pengalaman berbuka puasa yang mewah dan eksklusif, Four Seasons Hotel Kuala Lumpur menampilkan hidangan dan resepi istimewa daripada cef selebriti dan penyanyi, Datuk Fazley Yaakob.

Fazley mengetengahkan sajian makanan tradisional ala kampung dalam memberikan pelanggan mengimbau kenangan berbuka puasa bersama keluarga di kampung halaman.

Sajian Merentasi Zaman menampilkan pelbagai hidangan tradisional dari seluruh Malaysia dan masakan istimewa disediakan termasuklah puyuh salai kulit mangga muda bakar dan nasi tumpang ayam bakar pasu.

Bufet Ramadan di hotel itu dibuka kepada orang ramai bermula 13 April hingga 12 Mei 2021 dengan harga RM189-RM228 (dewasa) dan RM94.50-RM109 (kanak-kanak).

10. De.Wan 1958 by Chef Wan

Kalau sebut sahaja cef selebriti terkemuka Malaysia, sudah tentu korang akan fikirkan cef Wan dulu kan? Cef yang cukup terkenal dengan celotehnya ketika memasak turut menyediakan bufet berbuka bersempena dengan Ramadan tahun ini di restoran miliknya, De.Wan 1985 by Chef Wan. 

Daripada rojak betik Terengganu, udang galah rendang Perak, laksa Johor dan rendang Selangor De Wan - hidangan istimewa ini pastinya membuatkan air liur meleleh membayangkan keenakkannya.

Bukan itu je, bufet Ramadan itu turut menyediakan pelbagai stesen makanan bagi memenuhi citarasa pelanggan termasuklah Kampung Corner, Barbecue Carving Station, Warung Satay, Warung Ayam Gesek dan pelbagai anek bubur lambuk, gulai clypot, aneka cucur goreng dan sebagainya!

Tunggu apa lagi, buat tempahan ke bufet Ramadan De.Wan 1958 by Chef Wan yang bemula 13 April sehingga 11 Mei 2021 dengan harga RM158 (dewasa), RM100 (warga emas) dan RM73 (kanak-kanak 6-11 tahun).

sumber: mStar