Akhirnya, Sempadan Thai-Malaysia Bakal Dibuka Bulan Mac Depan!
TERKINIWow...ini ada berita baik yang pasti ramai ditunggu-tunggu oleh rakyat Malaysia yang rindukan kelazatan tomyam Thailand!
Kerajaan Thailand merancang membuka semula sempadan Thai-Malaysia bulan depan (Mac 2022) -- bagi merangsang sektor pelancongan dan ekonomi di wilayah selatan.
Timbalan jurucakap kerajaan, Rachada Dhnadirek berkata Perdana Menteri Prayut Chan-o-cha telah mengarahkan Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) serta pusat operasi kecemasan pelancongan dan sukan untuk menggariskan langkah mitigasi pandemik bagi pembukaan semula pusat pemeriksaan sempadan di Songkhla, Yala , Narathiwat dan Satun.
Memetik laporan Bangkok Post -- berikutan dasar kerajaan untuk membuka gelembung perjalanan dengan Malaysia, pelancong dari negara jiran akan dibenarkan masuk di bawah skim 'Test and Go' tanpa kuarantin ketika ketibaan.
Bagaimanapun, pelawat masih perlu lulus dua ujian RT-PCR selepas tiba di Thailand.
"Perdana Menteri yakin Thailand akan kekal sebagai antara destinasi pelancongan utama dunia walaupun berdepan pandemik.
"Kerajaan akan menyokong usaha untuk menggiatkan semula pelancongan dengan penekanan pada kesihatan dan keselamatan awam," kata Rachada.
Inspektor Jeneral yang bertugas di zon kesihatan awam 12, Dr Suthep Phetmak, berkata situasi COVID-19 di Malaysia dan Thailand adalah sama.
Pada 12 Februari lalu, terdapat kira-kira 20,000 kes baharu. Agensi kesihatan awam menjangkakan risiko pembukaan semula sempadan adalah rendah.
Sebelum pembukaan semula, agensi kerajaan akan menyediakan proses imigresen, ujian, hotel dengan standard SHA+ dan perniagaan dengan Tetapan Bebas COVID, termasuk pengangkutan awam, lokasi pelancongan, restoran dan pusat beli belah, katanya.
Sumber: Berita Harian