Giler Kayangan! Tandas Awam Kat Kelantan Ni Siap Ada Aircond, TV & Mesin Kopi

VIRAL
October 28, 2021 - 12:30 PM


Kalau korang kelik Kelate atau memilih bercuti di Negeri Cik Siti Wan Kembang dan ingin merasai pengalaman menggunakan sebuah 'tandas kayangan' -- korang boleh singgah di stesen minyak di Melor, Kota Bharu, Kelantan ini.

Di sini korang bukan sahaja dapat 'melepaskan hajat' dalam keadaan berhawa dingin dan selesa ibarat di dalam sebuah istana, malah korang juga berpeluang bersantai melepaskan lelah penat memandu dengan menonton televisyen sambil minum secawan kopi.

Pelik, kan bila sebuah tandas awam menawarkan semua pakej istimewa tu? Hehehe...

Kalau korang nak tahu, seorang pemilik stesen minyak di Melor yang bernama Datuk Dr Ahmad Omar berusia 83 tahun muncul dengan 'idea giler' itu untuk membina tandas awam ala kayangan bertujuan menangkis persepsi yang sering menggambarkan tempat tersebut sebagai kotor dan menjijikkan.

Malah, beliau juga sanggup berhabis wang sebanyak RM10,000 untuk menyediakan tandas berkenaan dengan 35 jenis kelengkapan bagi keselesaan pengguna yang singgah ke situ.

Antara kemudahan yang janggal disediakan di dalam sebuah tandas adalah penghawa dingin, pemanas air, televisyen, mesin bancuhan kopi dan juga meja solek.

Bukan itu sahaja malah tandas tersebut juga kelihatan mewah dengan ukiran keemasan di pintunya seakan sebuah istana mini.

Menurut Datuk Dr Ahmad, idea untuk menaik taraf tandas itu timbul setelah beliau mempunyai wang daripada keuntungan simpanan dalam sebuah bank yang dianggap sebagai ‘duit haram’

Maka beliau menggunakannya untuk membina tandas istimewa tersebut dan ditawarkan secara percuma bagi sesiapa yang ingin menggunakannya.

Kredit: Sinar Harian
Kredit: Sinar Harian

Bahkan, mereka yang menggunakan tandas itu juga akan mendapat diskaun pembelian barangan yang ada di lokasi kedai di stesen minyak miliknya.

Sumber: Kelantan Updates

Destination: