Palestin Abadikan Nama Malaysia Di Salah Satu Jalan Utama Gaza!

TERKINI
September 01, 2021 - 06:43 PM


Jika tahun lepas, negara kita mengabadikan sebatang jalan di Kuala Lumpur sebagai Jalan Palestin -- tahun ini pula Palestin memberi penghargaan sama kepada kita dengan menamakan sebatang jalan berhampiran kota Gaza sebagai 'Malaysia Street'.

Seperti yang kita sedia maklum, hubungan baik Malaysia-Palestin sentiasa dikagumi oleh masyarakat antarabangsa terutama dalam misi kemanusiaan serta penzahiran solidariti antara kedua-dua negara.

Bagi menzahirkan penghargaan di atas sumbangan Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin, akhirnya nama negara kita diabadikan dan dijadikan 'sebahagian' daripada negara Asia Barat itu.

Menurut Pengerusi Persatuan Kebudayaan Palestin-Malaysia (PCOM), Muslim Imran -- pembinaan papan tanda yang tertera 'Malaysia Street' di laluan masuk itu diluluskan Majlis Perbandaran Gaza.

"Majlis Perbandaran Gaza menamakan sebatang jalan di daerah barat Gaza sebagai 'Malaysia Street', bersempena Hari Kemerdekaan Malaysia, pada 31 Ogos. Lokasi (jalan ini ialah) berdepan Bulatan Ansar, barat Kota Gaza," katanya menerusi Twitter.

Sambil memuat naik gambar yang menyaksikan tiga lelaki sedang giat melakukan kerja pembinaan, papan tanda berwarna itu antara lain tertera penjelasan di sebalik keputusan nama jalan terbabit.

Menurut terjemahan bahasa Arab pada papan tanda itu, Malaysia mempunyai peranan penting dalam membantu perjuangan rakyat Palestin, dengan berterusan mendesak supaya menghentikan penjajahan Israel dan memperuntukkan semua hak sewajarnya kepada rakyat Palestin.

Malaysia sebagai negara yang bebas daripada belenggu penjajah British pada 31 Ogos 1957 juga menolak sebarang bentuk normalisasi menerusi tindakan penjajahan yang didalangi Israel.

Sumber: Berita Harian & Twitter Muslim Imran

Destination: