Pintu Sempadan Darat Malaysia-Thailand Bakal Dibuka?

TERKINI
March 24, 2022 - 11:14 AM


Dalam usaha menggalakkan industri pelancongan terutama di wilayah selatan, Thailand bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa yang berkaitan untuk membuka semula semua pintu sempadan darat dengan Malaysia menjelang 1 Mei.

Menteri Pelancongan dan Sukan Phiphat Ratchakitprakarn berkata kementerian akan mencadangkan kepada Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) untuk membuka semula lebih banyak pintu masuk antara kedua-dua negara.

"Kami merancang membuka secara beransur-ansur pusat pemeriksaan lain di Narathiwat, Yala dan Satun yang menghubungkan Malaysia untuk menggalakkan pelancongan di wilayah Selatan. Kami jangkakan semua pusat pemeriksaan Thailand-Malaysia dibuka semula pada 1 Mei.

"Kementerian Pelancongan dan Sukan akan berkoordinasi dengan Kementerian Luar untuk berbincang dengan pihak berkuasa Malaysia mengenai langkah-langkah yang akan dilaksanakan di pusat pemeriksaan sempadan bagi membendung penularan COVID-19," katanya dipetik portal Inggeris, The Nation di sini hari ini.

Pada masa ini, Pusat Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao di Songkhla dibuka untuk pelancong namun pusat Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan di Bukit Kayu Hitam di Kedah dijangka dibuka 1 April.

Selain itu, mulai 1 April, Lapangan Terbang Antarabangsa Hat Yai dijadual menerima kedatangan pelancong antarabangsa.

Semasa lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Thailand pada 25 Februari baru-baru ini, Malaysia dan Thailand pada dasarnya bersetuju untuk melaksanakan perjalanan bebas kuarantin udara, darat dan laut menerusi Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) dan skim Test & Go.

Sumber: BERNAMA

Destination: