Raja Bomoh Buat Hal Lagi! Kali Ni Ritual Tolak Banjir Pula, Siap Bawa 'Puteri Zaleha' Wei!

TERKINI
January 06, 2022 - 02:39 PM


Sebelum ini dia pernah buat kecoh dengan dakwaan telah 'memagar' seluruh dunia daripada penularan wabak Covid-19 -- kini "Raja Bomoh" buat hal lagi!

Di kala penduduk di beberapa negeri di Malaysia bergelut dengan kejadian banjir  -- "Raja Bomoh" atau nama sebenarnya Ibrahim Mat Zin didakwa tampil pula dengan 'ritual baharu'.

Namun kali ini, dirinya tidak berseorangan sebaliknya muncul dengan seorang wanita yang dikenali sebagai "Puteri Zaleha".

Menurut kemas kini di laman Facebook Perak Press, dua individu tersebut didakwa membuat ritual menolak bala berdekatan Teluk Gelanggang, Teluk Intan, Perak.

"Teluk Intan Raja Bomoh 1 Malaysia datang lagi, kali ini dia bergabung pula dengan Puteri Zaleha, serai semambu. (Menurut sumber) buat ritual tolak bala dekat Teluk Gelanggang, Teluk Anson hari ini," demikian tulis entri tersebut.

Menerusi video berdurasi lebih 25 minit itu, ritual tersebut dimulakan oleh 'aksi' Zaleha, termasuk kedengaran menyanyikan lirik berbunyi "puteri mayang sari, puteri terunggul lagi terpuji".

Turut kelihatan dalam rakaman tersebut beberapa bahan yang digunakan untuk upacara berkenaan termasuk kunyit dan bunga-bungaan.

Dalam keadaan mengadap pantai, Zaleha berkata: "Hari ini kita buat pelepasan supaya air lautan tidak mengganas di Teluk Anson, kerana tilik puteri, tengok air laut kemungkinan akan melimpah ruah dan tenggelam teluk ini."

Bahan-bahan ritual itu kemudian dilihat dihanyutkan ke dalam laut.

Sementara itu, Ibrahim dalam video tersebut mendakwa upacara yang dilakukan itu adalah untuk memohon supaya banjir disurutkan.

"Upacara yang kita buat hari ini adalah upacara petua-petua di zaman dahulu. Kita memohon kepada Allah SWT, kita minta supaya Teluk Intan ini jangan banjir atau jangan banjir besar, dapat disurutkan dengan izin Allah.

"Kita berdoa kepada Allah, kita buat di tepi pantai supaya bagi salam kepada Nabi Khidir bersama puan Zaleha, pengasas Serai Semambu," dakwanya.

Dalam pada itu, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dilaporkan akan membuka kertas siasatan dan memanggil Raja Bomoh berkenaan berhubung video ritual menolak musibah banjir tersebut.

Pengarahnya, Datuk Mohd Yusop Husin, berkata kertas siasatan akan dibuka mengikut Seksyen 14 Enakmen Jenayah Syariah Perak 1992 kerana mencela dan menghina agama Islam.

Orang ramai dinasihatkan supaya menjauhi amalan khurafat dan masyarakat juga dimohon tidak terpengaruh (dalam perkara yang menjurus kepada khurafat).

Sumber: Astro Awani

Destination: