Air Arabia Bawa Lebih Ramai Pelancong Asia Barat Ke Malaysia

July 03, 2019 - 05:06 PM


Memang tak dinafikan jika kemudahan pengangkutan ke negara kita diperluaskan, maka lebih ramai pelancong bakal memilih Malaysia sebagai destinasi percutian mereka.

Kini, menerusi penerbangan harian oleh Air Arabia antara Sharjah Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Kuala Lumpur seramai 337,100 pelancong dari Asia Barat dijangka berkunjung ke Malaysia, tahun ini.

Ia merupakan peningkatan berbanding tahun lepas yang mencatatkan rekod 315,937 pelancong dari rantau sama.

Hari ini, Air Arabia telah membuat penerbangan sulung di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang dan disambut oleh Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Mohamaddin Ketapi.

Perkhidmatan laluan Sharjah-Kuala Lumpur oleh Air Arabia pastinya akan membantu meningkatkan jumlah pelancong dari Sharjah serta Iraq, Mesir dan pasaran Majlis Kerjasama Teluk (GCC).

Justeru, pengendali industri pelancongan dan pengembaraan di Asia Barat dan Malaysia diharap lebih bijak menggunakan peluang keemasan daripada sambungan penerbangan baharu ini, untuk menyediakan pakej pelancongan yang menarik bagi menggalakkan aliran pelancong antara kedua-dua kawasan.

Penerbangan yang mengambil tempoh 7 jam itu, beroperasi setiap hari dengan muatan 215 tempat duduk.

Ia merupakan penerbangan terus pertama oleh Air Arabia yang menghubungkan Malaysia dengan wilayah GCC.

Air Arabia merupakan syarikat penerbangan kos rendah Timur Tengah dan Afrika Utara, yang menggunakan Airbus A321 LR Neo baharunya ke Kuala Lumpur.

Syarikat itu kini menguruskan perkhidmatan di lebih 170 laluan antarabangsa dan domestik dari habnya di UAE, Maghribi dan Mesir.

Sumber: Bernama