Air Asia Tawar Lagi Promosi 'Gila-Gila' Penerbangan Sehala RM79

February 28, 2018 - 05:52 PM


INFO TRAVEL: Berita baik untuk pengembara yang mahu melancong ke destinasi menarik di Thailand.

Dalam perkembangan terkini, AirAsia Bhd menambah destinasi penerbangannya di Thailand dengan memperkenalkan laluan ke Hua Hin yang akan bermula pada 18 Mei 2018 dengan kekerapan penerbangan sebanyak empat kali seminggu.

Dalam satu kenyataan hari ini, AirAsia berkata laluan dengan kod penerbangan AK itu adalah yang ketujuh ke Thailand selain menyediakan rangkaian terbesar di ASEAN dan menghubungkan dunia ke kawasan kurang dikunjungi di rantau itu.


Ketua Komersial AirAsia Malaysia, Spencer Lee, berkata destinasi baharu itu sekali gus menandakan laluan ke tujuh syarikat penerbangan berkenaan ke Thailand.

Katanya, langkah itu sejajar dengan usaha AirAsia untuk menawarkan rangkaian paling luas di ASEAN serta menghubungkan destinasi yang belum diterokai di rantau ini.

"Thailand menduduki tempat kesembilan antara negara paling ramai dikunjungi menurut laporan Organisasi Pelancongan Sedunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWTO) tahun lalu.

"Oleh itu, kami yakin bahawa Hua Hin akan menjadi destinasi percutian pilihan utama dan berharap laluan baharu ini akan menyumbang kepada pertumbuhan pelancongan.

"Sejak melancarkan laluan ke Phuket pada 2003 sebagai laluan antarabangsa pertama kami dari Kuala Lumpur, syarikat ini sudah menerbangkan seramai 1.3 juta orang pada 2017 dari Kuala Lumpur ke Thailand," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sempena meraikan pengumuman itu, AirAsia turut menawarkan promosi tambang daripada RM79 untuk perjalanan sehala di airasia.com dan aplikasi mudah alihnya bermula hari ini sehingga 4 mac 2018 untuk tempoh perjalanan dari bermula 18 Mei 2018 hingga 26 Oktober 2018.

AirAsia kini mempunyai sebanyak 165 penerbangan sehala ke Thailand.

Selain Hua Hin, enam laluan lain ke Thailand adalah Bangkok yang beroperasi 80 penerbangan seminggu, Phuket (35 kali seminggu), Krabi (21 kali seminggu), Hat Yai (tujuh kali seminggu), Chiang Mai (14 kali seminggu) dan Pattaya sebanyak empat kali seminggu.