Malindo Air Kini Tawarkan Penerbangan Ke Sydney – Promosi RM799 Sehala

July 01, 2019 - 12:08 PM


Nampaknya, kita akan mempunyai lebih pilihan untuk ke Australia selepas ini apabila Malindo Air turut menawarkan Sydney sebagai laluan baru mereka melalui Denpasar, Bali.

Mulai Ogos nanti, Malindo Air akan membuka laluan ke Sydney dari Kuala Lumpur melalui Denpasar Bali. Menurut promosi yang diadakan, tawaran untuk penerbangan yang akan bermula 14 Ogos ini akan dibuka dengan harga RM799 sehala untuk kelas ekononomi dan RM2,899 untuk business class.

Difahamkan, Malindo Air menyediakan penerbangan harian ke Sydney selepas ini dari Kuala Lumpur dan akan transit di Denpasar, Bali. Waktu transit adalah lebih kurang satu jam sebelum berlepas dari Bali ke Sydney.  

Untuk laluan ini, Malindo Air difahamkan akan menggunakan pesawat jenis Boeing 737-900ER dengan kapasiti 12 tempat duduk kelas bisnes dan 168 kerusi untuk kelas ekonomi. Menurut Chandra Rama Muthy selaku CEO Malindo Air, penumpang akan lebih selesa dengan ruang kaki yang lebih luas selain tawaran business class untuk laluan ini.

Dengar cerita, jika sambutan mengalakkan, Malindo Air akan menambah lagi kekerapan penerbangan untuk laluan Kuala Lumpur – Sydney ini.