
UPDATE 19 JUN 2020 - KES COVID 19 DI MALAYSIA
STATUS TERKINI KES DISAHKAN COVID-19 YANG TELAH
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa terdapat 70 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini. Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 8,070 kes (94.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).
STATUS TERKINI KES COVID-19 DI MALAYSIA
Sehingga 19 Jun 2020 pukul 12:00 tengah hari, terdapat enam (6) kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 8,535 kes. Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 344 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.
Ingin dimaklumkan daripada enam (6) kes baharu yang dilaporkan, dua (2) kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara melibatkan satu (1) warganegara Malaysia dan satu (1) bukan warganegara yang merupakan pemastautin tetap. Kesemua empat (4) kes penularan di dalam negara adalah di kalangan warganegara Malaysia seperti berikut:
Kuala Lumpur: satu (1) kes saringan pusat tahfiz;
Selangor: satu (1) kes kontak rapat kepada kes positif COVID- 19 (kes ke-8513). Kes baru ini merupakan ahli keluarga kepada kes ke-8513;
Negeri Sembilan: satu (1) kes saringan untuk pulang ke Sarawak;
Sarawak: satu (1) kes daripada Kluster Kidurong. Kluster ini akan diperincikan di bawah.
Sehingga kini, sebanyak tiga (3) kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Tiada kes yang memerlukan bantuan pernafasan.
Adalah dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan pada hari ini. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 121 kes (1.42 peratus daripada jumlah keseluruhan kes)
KLUSTER KIDURONG
KKM ingin memaklumkan satu kluster baharu yang telah dikesan di Sarawak. Sehingga kini, terdapat enam (6) kes dikesan bagi kluster ini. Kes indeks adalah merupakan seorang pelajar Insititut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di mana beliau dikesan positif pada 12 Jun 2020. Aktiviti pengesanan kes secara aktif mendapati bahawa ahli keluarga beliau juga telah dikesan positif COVID-19 (iaitu ibu, bapa dan dua (2) adik beradik beliau). Salah seorang rakan kepada ayah kes ini juga didapati positif COVID- 19, menjadikan ini sebagai sebuah kluster baharu di Kidurong.
Susulan itu, siasatan dan saringan kontak rapat telah dijalankan di mana setakat ini seramai 231 orang telah dikenalpasti. 163 orang telah disaring dan kesemuanya adalah negatif COVID-19. Punca jangkitan masih dalam siasatan.
AKTIVITI SURVELAN TERUS DIPERGIATKAN DALAM
Seperti makluman umum, mutakhir ini jumlah kes harian COVID- 19 di Malaysia adalah dalam linkungan satu hingga dua angka. Ini terutamanya bagi kes penularan di dalam negara yang kerap mencapai satu angka, menandakan Negara sudahpun memasuki fasa pemulihan. Namun demikian, KKM tetap terus melaksanakan aktiviti-aktiviti survelan malahan kian dipergiatkan bagi memantau penularan COVID-19 di komuniti pada setiap masa. Aktiviti ini membolehkan pengesanan awal kes COVID-19 di Malaysia dan tindakan pembendungan penularan dapat segera diambil. Aktiviti-aktiviti survelan yang dijalankan adalah termasuk survelan klinikal dan juga saringan kumpulan-kumpulan sasar.
Survelan klinikal dilaksanakan melalui pengambilan sampel untuk saringan COVID-19 secara rawak dari fasitili kesihatan KKM. Sehingga minggu epid ke-24 (iaitu sehingga 13 Jun 2020), sebanyak 19,309 sampel Influenza Like Illness (ILI) dan Severe Acute Respiratory Infection (SARI) telah diambil, di mana:
Kes ILI: 15 kes positif COVID-19 daripada 2,048 sampel (iaitu kadar positif adalah 0.7 peratus)
KesSARI: 76 kespositif COVID-19daripada17,261sampel (iaitu kadar positif adalah 0.4 peratus)
Ingin dimaklumkan bahawa lokasi sentinel iaitu Klinik Kesihatan KKM telah ditambah lagi kepada 26 buah di seluruh negara. Ianya adalah salah satu tindakan bagi mempergiat sistem amaran awal (early warning) penularan COVID-19 di Malaysia.
Bagi saringan pra pembedahan kes kecemasan dan separa kecemasan di hospital KKM sehingga 19 Jun 2020, 17 kes positif COVID-19 telah dikesan daripada 37,756 pesakit yang disaring (iaitu 0.05 peratus).
NASIHAT KESIHATAN BERKAITAN COVID-19
Orang awam sentiasa diingatkan untuk mengamalkan nasihat kesihatan yang disarankan oleh KKM iaitu:
Elakkan 3S / 3C: iaitu elakkan kawasan yang sesak (Crowded place), elakkan kawasan yang sempit (Confined space) dan elak sembang atau bertutur dengan jarak yang dekat (Close conversation).
Amalkan 3W: iaitu kerap mencuci tangan dengan air dan sabun (Wash), sangat digalakkan memakai alat pelitup separuh muka (penutup hidung dan mulut - face mask) di tempat awam atau jika bergejala (Wear), dan (Warn) iaitu amaran dari KKM yang lebih berkonsep peringatan seperti:
- Elak bersalaman / bersentuhan;
- Amalkan etika batuk dan bersin;
- Dapatkan rawatan segera jika bergejala;
- Duduk di rumah dan elakkan kunjung-mengunjung;
- Lakukan aktiviti disinfeksi dan pembersihan di kawasan yang kerap disentuh.
Selain itu, sentiasa ingatlah kepada S.O.P, iaitu:
- S: Syarat-syarat seperti yang ditetapkan di bawah PKPB
- O: Orang yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak, bayi warga emas dan orang kurang upaya (OKU) perlu dilindungi, individu tidak sihat dan bergejala dikehendaki segera menjalani pemeriksaan kesihatan
- P: Penjarakan sosial (social distancing) diamalkan pada setiap masa iaitu sekurang-kurangnya 1 meter.
SUMBER: KKM