#JakmaniaBerduka Penuhi Sosial Media – Korban Terbaru Bolasepak Indonesia

September 24, 2018 - 04:27 PM


Seluruh peminat dan penyokong bolasepak terutamanya di Indonesia sedang berduka atas insiden yang berlaku dalam arena bolasepak negara mereka.

Tidak kurang di akaun-akaun rasmi kelab-kelab disana, kesemuanya menaikkan #JakmaniaBerduka dengan insiden yang berlaku kepada salah seorang penyokong Persija Jakarta.

Haringga Sirilla, 23 tahun meninggal dunia setelah dipukul dan dibelasah oleh penyokong lawan iaitu Persib Bandung ketika kedua-dua kelab itu bertemu di Stadium Gelora Bandung Lautan Api, Kota Bandung.

Melalui video-video serta gambar yang tidak mahu kami tunjukkan, Haringga berseorangan. Dihujani dengan sepakan, tumbukan serta bermacam-macam lagi objek sebelum tubuhnya diarak keliling stadium.

Memang diketahui, selama ini rivalry antara Persija dan Persib amat kuat, dan ini bukanlah tragedi pergaduhan yang melibatkan nyawa yang pertama berlaku disana.

Setiausaha Agung PSSI, Ratu Tisha Desatria ternyata kesal dengan kejadian tersebut dan menurut laporan, Ketua Polis Bandung telah melakukan penangkapan keatas 10 orang suspek berhubung kejadian tersebut.

Para netizen, pemerhati bola sepak serta pemimpin politik Indonesia mahu tindakan yang lebih agresif.

Pemain lagenda Indonesia Bepe, atau nama penuhnya Bambang Pamungkas turut kesal sambil berkata, sekiranya insiden pergaduhan seperti ini tidak berhenti, untuk apa adakan sukan bola sepak di Indonesia.

Memetik tweet Bepe , "Agak ngilu sih bayangin tidak ada sepak bola di Republik, tapi saya setuju," kata Bambang dalam entri Twitternya.

 

Diharapkan, perkara sedemikian tidak berlaku disini, dan tak akan pernah berlaku.

Moga tenang disana Haringga Sirilla. #RIPHaringga #JakmaniaBerduka