Kelantan Terpaksa Tamatkan Kontrak Apek, Piya Lebih Awal

April 24, 2018 - 10:39 AM


Pasukan Bola Sepak Kelantan atau The Red Warriors (TRW) terpaksa kehilangan beberapa orang pemain senior pasukan berkenaan kerana bebanan hutang selain tidak lagi berada dalam perancangan skuad utama.

Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) mengesahkan kapten kesayangan mereka Mohd. Badri Mohd Radzi (Piya) dan penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat (Apek) terpaksa dilepaskan lebih awal pada musim ini.

Presiden Kafa, Bibi Ramjani Ilias berkata, keputusan menggugurkan kedua-dua pemain berkenaan diambil setelah mereka tidak tersenarai dalam perancangan skuad utama ketua jurulatih Kelantan iaitu Fajer Ibrahim.

Selain Apek dan Piya, Amiridzwan Taj juga terpaksa dilepaskan. Selain membantu mengurangkan beban kewangan, tindakan ini juga membolehkan pemain-pemain ini memberikan khidmat kepada pasukan lain, tambah Bibi Ramjani.

Nampaknya, penyokong TRW terpaksa menerima keputusan terbabit dengan hati terbuka, mana tidaknya kedua-dua pemain berkenaan sudah terlalu sinonim dengan pasukan Kelantan.

Terdahulu, pemain import Brazil, Bruno Lopes dan tiga lagi pemain tempatan iaitu S Veenod, Rozaimi Azwar dan Faizol Nazlin juga diumumkan tidak lagi bersama pasukan The Red Warriors dalam saingan Liga Super musim ini.