Terima Kritikan Berunsur Perkauman, Ozil Tinggalkan Jerman

July 23, 2018 - 12:22 PM


“Saya berasa tidak dihormati selain kritikan berunsur perkauman yang saya terima” – begitulah bunyi tweet Mesut Ozil yang mengesahkan dirinya tidak akan mewakili pasukan kebangsaan Jerman lagi selepas ini.

Mungkin sedikit mengekutkan, namun apa yang dilakukan Ozil ini adalah susulan daripada kritikan dan layanan yang diterimanya baik dari penyokong, juga persatuan bola sepak Jerman semasa kempen Piala Dunia 2018 di Russia.

Kontroversi melibatkan Ozil bermula apabila beliau dikecam kerana bergambar bersama Presiden Turki, Recep Tayyip Edrogan. Ozil yang mempunyai keluarga yang berasal dari Turki mempertahankan tindakannya walaupun kesetiaannya terhadap Jerman menjadi persoalan.

Menurut luahan beliau menerusi twitter, Ozil ternyata kecewa terhadap Persekutuan Bolasepak Jerman (DFB) yang tidak mempertahankan dirinya susulan segala kritikan yang diterima selain dipersalahkan dan dikatakan menjadi punca kegagalan Jerman pada pusingan pertama piala dunia.

Menutup luahan hati tersebut, Ozil mengesahkan persaraannya dari Pasukan Kebangsaan Jerman selain menyatakan sebab utamanya adalah kecaman berbentuk perkauman.

Mula bermain untuk Jerman pada tahun 2009 dan penampilan terakhir bersama pasukan tersebut pada Jun lepas, Ozil telah bermain sebanyak 100 perlawanan untuk Pasukan Jerman, turut membantu dalam memenangi Piala Dunia 2014 dan pernah memenangi anugerah pemain terbaik Jerman sebanyak 5 kali.

 

Selamat Maju Jaya Ozil!