Wow, Cantiknya Glamping Ni Menghadap Laut. Dengarnya Yang Pertama Kat Malaysia!

August 10, 2020 - 01:30 PM


Seakan sudah menjadi trend percutian bagi rakyat Malaysia sekarang yang mengimpikan sebuah penginapan berkonsepkan alam semulajadi dengan suasana yang luar biasa seperti glamor camping atau singkatannya "glamping".

Di Malaysia, konsep penginapan bertema glamping ini juga semakin banyak bak 'cendawan tumbuh selepas hujan'.

Selain glamping yang popular dan telah menjadi viral di media sosial iaitu A'Moss Farmstay, Cameron Highlands dan UMEA Glam Kundasang, Sabah -- ini ada satu lagi pilihan glamping yang sangat menarik untuk dijadikan sebagai destinasi percutian atau bulan madu korang iaitu SEA HORIZON GLAMPING yang terletak di Kuala Sedili Besar, Kota Tinggi, Johor.

Istimewanya jika glamping di sini yang dahulunya dikenali sebagai Tanjung Sutera Resort, korang bakal merasai pengalaman "Glamping Di Tebing Laut Yang Pertama Di Malaysia!"

Sea Horizon Glamping ini menawarkan hanya 2 unit penginapan berbentuk Dome yang dilengkapi pelbagai kemudahan persis seperti hotel 5 bintang.

Kedua-dua dome berkenaan juga dibina menghadap keindahan pemandangan Laut China Selatan serta mempunyai ruang makan peribadi sendiri.

Dikelilingi persekitaran alam semulajadi yang hijau dan mendamaikan, glamping ini mempunyai penyaman udara, katil bersaiz king, ruang mandi peribadi, pancuran mandian air panas, hammock, televisyen, set barbeque dan banyak lagi.

Malah bagi memberikan tetamu layanan seperti VIP, mereka juga boleh memilih untuk menikmati hidangan sarapan di dalam suite glamping masing-masing.

Sebuah dome boleh memuatkan maksimum hingga 3 orang dan harga untuk satu malam adalah RM680.

Selain dapat bersantai di tepian pantai dan melakukan pelbagai aktiviti seperti berenang, berkayak, berbasikal dan bersukan air -- korang juga boleh mencuba pengalaman baru seperti meneroka formasi batuan yang dinamakan "Dinosaur Trail" yang telah berusia 250 juta tahun dan terletak sangat dekat dengan Sea Horizon Glamping ini.

Malah para tetamu juga boleh mengambil bahagian dalam bengkel pembuatan makanan ringan tradisional seperti keropok lekor dan jalan-jalan petang sambil berbasikal menjelajah perkampungan nelayan berdekatan.

Jika berminat, korang boleh mendapatkan lebih banyak maklumat terperinci dengan melawati laman web rasmi mereka di seahorizon.my/ atau menghubungi mereka di talian 012-7719200 .

Sumber & Kredit Gambar: Sea Horizon Glamping

Destination: