1MDB: Jho Low Bakal Kembalikan Aset Bernilai AS$100 juta Kepada Malaysia

TERKINI
June 27, 2024 - 12:38 PM


Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS) telah mencapai persetujuan dengan ahli perniagaan kelahiran Malaysia yang kini dalam buruan, Jho Low untuk memulangkan lebih AS$100 juta (RM471 juta).

AS berkata, karya seni oleh artis Andy Warhol dan Claude Monet dan sebuah apartmen mewah di Paris akan dicairkan dan aset bernilai AS$67 juta (RM315.7 juta) akan dikembalikan kepada Malaysia.

Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) melaporkan semalam, wang tersebut didakwa diselewengkan daripada dana kekayaan milik Malaysia sebagai sebahagian daripada skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB). 

Pendakwa raya AS mendakwa bahawa aset itu dibeli dengan menggunakan wang tunai yang diperoleh untuk dana 1MDB antara 2012 hingga 2013. 

“Aset itu akan menambah kira-kira AS$1.4 bilion (RM4.7 bilion) yang telah dikembalikan dengan bantuan AS,” kata Jabatan Kehakiman. 

Secara keseluruhannya, lebih AS$4.5 bilion (RM21.2 bilion) didakwa dicuri daripada dana 1MDB. 

Menurut Washington, sebagai sebahagian daripada perjanjian yang dicapai bersama Jho Low, keluarga dan entiti yang ditubuhkannya, ia akan menyelaraskan dengan negara-negara asing untuk memindahkan aset yang dipegang di luar negara ke Malaysia. 

“Perjanjian itu menyelesaikan tindakan rampasan sivil terhadap sebuah apartmen mewah di Paris dan karya seni yang terletak di Switzerland oleh artis Andy Warhol dan Claude Monet, yang dibeli Low dengan jumlah keseluruhan kira-kira AS$35 juta (RM165 juta).

“Selain itu, pihak-pihak itu juga bersetuju untuk memulangkan kepada Malaysia hartanah dan wang tunai dalam akaun bank bernilai kira-kira AS$67 juta (RM315.7 juta) yang terletak di Hong Kong, Switzerland dan Singapura," tambah Jabatan Kehakiman. 

Sebelum ini, Jho Low, nama sebenarnya Low Taek Jho didakwa dalam skandal kewangan terbesar, 1MDB, yang menyaksikan berbilion-bilion dolar daripada dana negara digelapkan. 

 

Sumber: Astro Awani

Destination: