240GB Data Pekerja Dan Pelanggan Syarikat Toyota Dicuri

TERKINI
August 20, 2024 - 07:15 PM


Toyota baru-baru ini mengesahkan bahawa syarikat mereka di Amerika Syarikat telah digodam, dan 240GB data pekerja dan pelanggan syarikat tersebut telah dicuri. Data tersebut kini nampaknya sudah terdedah di forum laman web gelap dan boleh dimuat-turun oleh sesiapa sahaja.

Kumpulan penggodam ZeroSevenGroup mengambil tanggungjawab keatas serangan godaman tersebut, dan mengatakan bahawa fail 240GB tersebut mengandungi data syarikat, pelanggan, kontrak jual-beli, maklumat kewangan syarikat, bersama-sama dengan butiran IT syarikat tersebut seperti ID dan kata laluan WiFi dan lain-lain berkenaan rangkaian internet syarikat tersebut.

Toyota tidak memberi butiran mengenai bila dan bagaimanakah godaman tersebut berlaku, tetapi mengesahkan bahawa data yang tertiris ini mempunyai tarikh dicipta pada 25 Disember 2022, dan ini memberi mereka gambaran bahawa data ini dicuri melalui sebuah pengkalan data sandaran yang mempunyai isu kerentanan sekuriti.

Mereka juga dilaporkan kini sedang mengenalpasti bagaimanakah pengkalan data tersebut mempunyai kerentanan serius ini, dan mengapa sehingga 240GB data syarikat telah dicuri.