Bala Tolong Bawa Beg Datin, Warga Malaysia Ditahan 30 Hari Di China

TERKINI
February 21, 2024 - 05:24 PM


Acapkali kita dengar peringatan untuk sentiasa berwapada ketika berada di mana-mana lapangan terbang. Lebih-lebih lagi apabila seseorang yang kita tidak kenali meminta tolong untuk menjaga mahupun memegang bagasi.

Itu yang menimpa seorang jurusolek. Dia yang hanya berniat baik ingin membantu memegang beg milik rakannya di lapangan terbang bertukar igauan ngeri apabila dipenjara selama 30 hari di China. Semuanya hanya kerana bagasi tersebut membawa ubat-ubatan tradisional.

Menceritakan pengalaman itu, Lisa Lim, 45, berkata, dia dan rakannya dalam perjalanan pulang ke Malaysia selepas bercuti di Kunming, China pada 7 Januari lalu.

"Ketika berada di lapangan terbang, seorang rakan dikenali sebagai Datin Ng meminta saya memegang beg miliknya kerana kononnya dia ada bagasi lain untuk dibawa.

"Tanpa memikirkan apa-apa, saya membantu membawa beg itu sebelum dihalang pihak berkuasa lapangan terbang di pusat pemeriksaan imigresen.

"Pemeriksaan dilakukan menemui sejumlah besar ubat Cina yang dimampatkan dalam bentuk pil," katanya ketika ditemui pada sidang media di Wisma MCA, di sini, hari ini.

Lisa berkata, meskipun anjing pengesan tidak mengesan sebarang dadah dalam beg berkenaan, pihak berkuasa China masih menahannya.

Menurut Lisa, rakan-rakannya meninggalkan dia di lapangan terbang itu dan terus menaiki penerbangan pulang ke Malaysia, hari sama.

"Saya diberitahu akan dibebaskan dalam tempoh tiga hari, tetapi ditahan di dalam lokap selama 30 hari sebelum dibebaskan pada 7 Februari lalu dan pulang ke Malaysia keesokannya.

"Saya dibebaskan selepas pihak berkuasa China berpuas hati bahawa beg berkenaan tidak mengandungi sebarang dadah.

"Sepanjang tempoh 30 hari ditahan, saya tidak dapat menghubungi keluarga dan rakan-rakan sehingga timbul spekulasi saya terbabit dengan kegiatan jenayah," katanya.

Lisa berkata, sebaik tiba di Malaysia, dia bertemu dengan Datin Ng bagi mendapatkan penjelasan mengenai perkara berkenaan.

"Namun, dia seolah-olah tidak kisah dengan apa yang berlaku dan menafikan ada membawa ubat-ubatan di dalam beg berkenaan.

"Malah, rakan lain yang turut bersama dalam percutian itu meminta saya untuk melupakan insiden yang berlaku (ditahan pihak berkuasa China)," katanya.

Sementara itu, Michael Chong berkata, pengalaman pahit ditahan pihak berkuasa China itu merosakkan reputasi Lisa dan menyebabkan tekanan besar terhadap dirinya serta keluarga.

Sumber dan Kredit: Harian Metro

Destination: