"Caj Perkhidmatan Penumpang Domestik Kekal, Antarabangsa Berubah Mulai 1 Jun" - MAVCOM

TERKINI
March 14, 2024 - 12:56 PM


Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) mengumumkan pindaan kepada Caj Perkhidmatan Penumpang (PSC) bagi Tempoh Kawal Selia Pertama (RP1), bermula 1 Jun 2024 hingga 31 Disember 2026.

Dalam kenyataan pada Selasa, MAVCOM menjelaskan tiket yang dikeluarkan sebelum 1 Jun 2024 tidak akan tertakluk kepada kadar baharu itu, walaupun tarikh perjalanan berlaku pada atau selepas tarikh itu.

Suruhanjaya itu memaklumkan bahawa kadar pindaan PSC baharu itu di antara RM7 dengan RM73 bagi RP1 dikenakan kepada penumpang yang berlepas dari dan pemindahan melalui Malaysia.

Kadar itu termasuk caj keselamatan iaitu caj bagi penyediaan perkhidmatan keselamatan di lapangan terbang, menurutnya. 

MAVCOM memaklumkan bahawa pihaknya mengekalkan PSC pelepasan domestik pada RM11 di semua lapangan terbang kecuali Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (JHB).

Berdasarkan kadar PSC baharu, PSC ASEAN dan destinasi melangkau ASEAN telah digabungkan menjadi PSC antarabangsa tunggal berjumlah RM73 bagi Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dan RM50 bagi Terminal 2 KLIA berserta lapangan terbang lain, tambah suruhanjaya itu.  

Kadar PSC semasa ASEAN dan destinasi melangkau ASEAN masing-masing pada RM35 dan RM73.

MAVCOM juga memperkenalkan PSC pemindahan bagi RP1, di semua lapangan terbang di Malaysia dengan kadar untuk perjalanan domestik melalui semua lapangan terbang ialah RM7, manakala kadar RM42 untuk perjalanan antarabangsa melalui Terminal 1 KLIA dan RM29 untuk perjalanan antarabangsa melalui Terminal 2 KLIA dan lapangan terbang lain. 

MAVCOM memaklumkan bahawa pindaan itu merupakan tanggungjawabnya dalam pengawalseliaan ekonomi Caj Perkhidmatan Penerbangan (ASC) di Malaysia di bawah Seksyen 46 Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 (Akta 771), yang merangkumi kuasa untuk menetapkan caj perkhidmatan penerbangan seperti PSC, serta caj pendaratan dan parkir pesawat, antara lain. 

Langkah itu juga bertujuan memastikan pengendali lapangan terbang mengekalkan keupayaan dan daya saing kewangan yang kukuh, serta membolehkan peluang pembiayaan semula pada kadar yang munasabah dan pelaburan berterusan dalam infrastruktur lapangan terbang yang efisien. 

Maklumat lanjut mengenai PSC dan Caj Perkhidmatan Penerbangan lain boleh didapati dalam Kertas Keputusan berkenaan Penyeliaan Caj Perkhidmatan Penerbangan untuk RP1 di laman web Mavcom di www.Mavcom.my

 

Sumber: Berita Harian

Destination: