Jual Stokin Berkalimah Allah, KK Super Mart Mohon Maaf

TERKINI
March 14, 2024 - 10:49 AM


Malam semalam, tular berkenaan dengan kedai runcit KK Super Mart yang didapati menjual secara terbuka stokin yang mengandungi kalimah Allah S.W.T. 

Insiden tersebut pastinya mencetuskan persoalan ramai orang tentang bagaimana rangkaian runcit itu boleh lalai dan tidak peka dengan produk yang menyentuh sensitiviti penganut agama terbesar di Malaysia.

Tidak lama selepas isu itu tular, pihak KK Supermart telah mengeluarkan kenyataan permohonan maaf atas penjualan stokin berjenama Miranosock. Mereka mendakwa berlaku kesilapan penjualan stokin tersebut di Outlet KK Super Mart di Bandar Sunway semalam.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan, pihak KK Super Mart meluahkan rasa kesal dan memandang serius akan insiden itu dan tindakan serta-merta telah diambil dengan menghentikan penjualan stokin tersebut.

Malah, pihak KK turut memaklumkan bahawa produk ini adalah produk ‘consignment’ daripada vendor. Mereka juga telah menghubungi pihak vendor dalam mendapatkan penjelasan lanjut berhubung isu itu. 

KK Super Mart juga berterima kasih kepada khalayak ramai di atas keprihatinan memberi teguran dan komen berkenaan dengan isu ini. Pihak mereka sekali lagi memohon maaf dan akan memastikan perkara seperti ini tidak berlaku lagi. 

 

Sumber: Facebook

Destination: