Kes Lelaki Rohingya Bunuh Anak & Isteri, Anak 2 Tahun Dipercayai Mangsa Ketiga Ditemui

TERKINI
August 20, 2024 - 05:06 PM


Penemuan mayat kanak-kanak lelaki berusia dua tahun di Pantai Leman, Kuala Kedah di sini dipercayai turut menjadi mangsa bunuh suspek etnik Rohingya dalam kejadian kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Kedah, Deputi Komisioner Adzli Abu Shah berkata, mayat mangsa ditemui terdampar oleh orang awam yang berada di pantai itu kira-kira pukul 12 tengah hari tadi.

Katanya, keadaan fizikal mayat kanak-kanak itu sempurna, namun terdapat kesan kelar di leher.

“Kecederaan kelar dialami serupa seperti dialami dua beranak berusia 34 dan 10 tahun.

“Walau bagaimanapun kita sedang membuat pengesahan identiti mayat kanak-kanak terbabit, namun berdasarkan siasatan kita tidak menolak kemungkinan mangsa adalah anak bongsu suspek yang turut dibunuh pada Ahad lalu,” katanya.

Suspek memiliki tiga anak dan salah seorang daripadanya yang belum ditemui sebelum ini dipercayai dibuang ke dalam longkang di Jalan Pegawai iaitu kira-kira 2 kilometer dari lokasi kejadian sebelum hanyut ke laut.

Terdahulu, polis berjaya menahan seorang lelaki warga asing susulan penemuan mayat dua beranak di belakang sebuah bangunan kosong berdekatan Pekan Simpang Kuala di Jalan Sultan Abdul Halim, di sini petang semalam.

Suspek berusia 43 tahun itu diberkas di sebuah masjid di Bukit Pinang, di sini pada pukul 9.05 malam tadi bersama seorang anak lelaki berusia lima tahun yang dijumpai selamat, namun trauma.

Destination: