Murid Dipercayai Didenda Berjemur Tengah Panas Mungkin Bergelar OKU

TERKINI
May 30, 2024 - 11:47 AM


Murid darjah lima yang mengalami strok haba didakwa kesan daripada denda berjemur di padang yang dikenakan guru sekolah di Ampang pada 30 April lalu, akan dinilai sebagai orang kurang upaya (OKU).

Ibu mangsa, AD Mogahana Selvi, 35, berkata, pihak Hospital Ampang sudah mengeluarkan surat rujukan untuk anaknya dinilai sebagai OKU akibat masalah kesihatan dialami. 

Difahamkan kanak-kanak itu terlibat dengan masalah kesihatan berkaitan saraf dipercayai akibat strok haba dialami sebelum ini.

“Terus terang cakap saya sakit hati bila tengok keadaan anak tidak macam biasa. Dulu dia kerap bermain dengan abang dan adiknya, sekarang dia banyak menyorok dan bercakap sendiri. 

"Pihak hospital juga memaklumkan kepada saya bahawa anak sudah tidak boleh belajar di sekolah biasa akibat masalah kesihatan dialaminya dan minta saya hantarnya ke sekolah khas selepas ini," kata si ibu. 

Susulan itu, peguam mereka Dinesh Muthal mewakili anak guamnya akan mengemukakan saman sivil terhadap semua pihak yang terlibat dalam kes terbabit. 

"Kes ini memberi tekanan kepada ibu bapa mangsa terutamanya Mogahana yang kini mengandung tiga bulan, apabila terpaksa menerima hakikat yang kehidupan normal anaknya sudah berubah.

"Disebabkan itu selain tuntutan sivil, kami mahu guru terbabit dituduh di mahkamah dan dikenakan tindakan setimpal (jika disabitkan)," katanya. 

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pemas, S Dayalan menegaskan bahawa siasatan pihak berkuasa dan tindakan lanjut diambil pihak sekolah terhadap kes berkenaan adalah tidak memuaskan. 

Beliau dalam masa sama turut mempertikaikan tiga surat amaran dikeluarkan pihak sekolah termasuk surat amaran terakhir pada 23 Mei terhadap ibu bapa. Surat amaran itu adalah kerana anak yang tidak hadir ke sekolah sejak 2 hingga 23 Mei lalu.

“Tetapi dalam tempoh itu, isu murid terbabit yang dijemur tidak dibincangkan dengan ibu bapa kanak-kanak berkenaan,” tambah Dayalan. 

Terdahulu, seorang murid darjah 5 dikejarkan ke hospital selepas didakwa didenda oleh guru untuk berjemur di padang sekolah dari jam 10 pagi hingga 12.50 tengah hari.  

"Anak maklumkan kepada saya bahawa dia ada membuat aduan kepada cikgu itu kerana ada murid lain memukulnya. Tetapi cikgu itu mengambil tindakan mendenda anak saya supaya berjemur di padang sekolah," katanya. 

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001. 

 

Sumber: Harian Metro

Destination: