Nak Semua Beraya, Hafiz Mahamad Sediakan 10 Bas Untuk Bantu Orang Ramai Balik Kampung

TERKINI
March 20, 2024 - 04:07 PM


Pempengaruh dan usahawan terkenal bernama Hafiz Mahamad sering menjadi perbualan ramai dek kontroversi yang dia lakukan. Namun, satu perkara yang tidak boleh disangkal tentang lelaki tersebut adalah sikap suka membantunya.  

Walaupun sering dikecam, Hafiz tetap kerap memuat naik perkongsian dan pertolongan yang ditawarkannya kepada orang ramai menerusi laman sosialnya. 

Terbaru, suami kepada Aina Syafiqah itu telah membuat satu pengumuman yang menyatakan bahawa dia akan menaja 10 buah bas untuk mereka yang ingin pulang ke kampung halaman sempena Aidilfitri nanti. 

Menerusi hantaran di laman Instagram, bapa kepada dua cahaya mata itu berkongsikan mengenai perancangannya menolong orang ramai balik kampung selain meninjau sendiri keadaan bas yang ditaja.

“Saya sudah membayar 10 bas untuk awak balik raya kampung tahun ini.

“Saya faham, ada ramai sahabat yang kewangannya tidak mengizinkan. Izinkan saya cuba bantu apa yang boleh," katanya. 

Selain itu, Hafiz juga meluahkan rasa syukur kerana dikurniakan keupayaan untuk menaja golongan yang memerlukan untuk pulang beraya.

“Kita buat ini setiap tahun sebab biarlah tidak mampu membeli baju raya asalkan dapat beraya dengan mak dan ayah.

“Itulah ayat mereka saya faham sangat.

“Balik raya percuma, butiran lanjut saya kongsikan. Kalau terlalu ramai atau tiket full, insya-ALLAH saya akan tambah bas lagi,” kongsinya.

 

Sumber: Instagram

Destination: