20 Laluan Akan Ditutup Bermula 9 Pagi 30 Jan Sempena Keberangkatan Balik Agong & Raja Permaisuri

TERKINI
January 29, 2024 - 04:09 PM


Sejumlah 20 Laluan Sekitar Lembah Klang Akan Ditutup Esok. Sehubungan dengan acara lambaian kasih Agong dan Raja Permaisuri, terdapat tujuh laluan yang akan ditutup secara penuh bermula 9 pagi esok (30 Januari) iaitu:

  1. Jalan Damansara ke arah Jalan Parlimen (dari arah Istana Lama)

  2. Jalan Sultan Abdul Halim ke arah Jalan Parlimen

  3. Lebuhraya Sultan Iskandar ke arah Jalan Parlimen

  4. Jalan Kuching ke arah Bulatan Dato’ Onn

  5. Jalan Salahudin ke arah Bulatan Dato’ Onn

  6. Jalan Sultan Ismail ke arah Bulatan Dato’ Onn

  7. Jalan Tun Perak ke arah Bulatan Dato’ Onn

Dalam masa yang sama, terdapat 13 laluan lain yang akan ditutup secara berperingkat bermula dari 9 pagi seperti berikut:

  1. Lebuhraya Sultan Iskandar ke Jalan Damansara

  2. Jalan Travers ke Jalan Damansara (dari arah Muzium Negara)

  3. Jalan Sultan Hishamuddin ke Jalan Damansara (dari arah Bulatan Hishamuddin)

  4. Jalan Tun Sambathan ke Jalan Damansara

  5. Jalan Syed Putra ke Jalan Istana

  6. Jalan Dewan Bahasa ke Jalan Istana

  7. Jalan Sungai Besi ke Lebuhraya KL-Seremban

  8. Lingkaran Tengah/Jalan Connaught dari Lebuhraya Syed Putra

  9. NPE dari Pantai Dalam

  10. Maju Expressway (KL-Putrajaya) dari Plaza Tol Salak Selatan

  11. Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dari Sungai Besi

  12. Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dari Lebuhraya KL-Seremban

  13. Sukom Interchange ke arah Lebuhraya Shah Alam (KESAS)

Setelah lima tahun memegang tampuk kepimpinan negara, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan menamatkan pemerintahannya esok (30 Januari 2024).

Demi memperingati Agong bersama-sama Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, acara lambaian kasih atau ‘state drive’ akan berlangsung esok. 

Bermula dari Dataran Parlimen pada jam 10 pagi, acara itu akan berlangsung hingga ke Bulatan Dato’ Onn. Ia dicadangkan berlangsung sebelum Seri Paduka Baginda berdua berlepas ke Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Jalan Parlimen hingga Bulatan Dato’ Onn Ditutup Dari 6 Pagi

Sehubungan dengan itu, sepanjang Jalan Parlimen sehingga ke Bulatan Dato’ Onn akan ditutup sepenuhnya seawal jam 6 pagi, maklum Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini (29 Januari).

Penutupan jalan tersebut bertujuan bagi memberi ruang pergerakan masuk pasukan pelambai, yang merangkumi 3,650 kakitangan kerajaan dari pelbagai kementerian.

Istiadat Keberangkatan Balik Agong & Raja Permaisuri

Orang ramai turut dijemput hadir menyertai lambaian kasih dan bersama-sama meraikan Agong dan Raja Permaisuri. Allaudeen berkata kenderaan persendirian boleh diletakkan di kawasan sekitar Taman Botani, parkir bertingkat di Bukif Aman dan parkir di bawah Dataran Merdeka.

Sebelum acara lambaian kasih berlangsung, Agong dan Raja Permaisuri dijangka akan menghadiri Istiadat Keberangkatan Balik. Istiadat tersebut bermula di Istana Negara sebelum ke Dataran Parlimen sebagai simbol tamatnya tempoh pemerintahan Yang di-Pertuan Agong ke-16 negara.

Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur akan menempatkan kira-kira 91 orang pegawai bagi mengawal lalulintas, maklum Allaudeen.