Pemandu Tidak Sedar Kucing Tergantung, Mahu Bawa Ke Klinik Haiwan

TERKINI
August 09, 2024 - 06:57 PM


Seorang pemandu kenderaan pacuan empat roda mendakwa tidak menyedari kucing yang dibawanya tergantung pada bahagian belakang kenderaannya dalam kejadian di kawasan Simpang Ampat, sehingga tular di media sosial semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Superintendan Chong Boo Khim, berkata, berikutan insiden itu, pemandu terbabit bertindak membuat laporan polis bagi memberi penjelasan berhubung insiden itu selain mengelak salah faham.

Mengesahkan menerima laporan daripada pengadu, Boo Kim berkata, siasatan mendapati lelaki warga tempatan itu telah menemui seekor kucing jalanan di rumahnya yang berada dalam keadaan tidak terurus.

“Dia kemudiannya mahu membawa kucing tersebut ke klinik haiwan di Simpang Ampat bagi tujuan memandulkan haiwan berkenaan".

“Bagaimanapun semasa dalam perjalanan ke klinik, pengadu tidak menyedari kucing yang diletakkan di bahagian belakang kenderaanya cuba melompat keluar sehingga berada dalam keadaan tergantung", katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Menurut Boo Kim, pengadu hanya menyedari haiwan berkenaan berada dalam keadaan tergantung selepas sampai di klinik haiwan dan bertindak membukakan ikatan tali di leher kucing terbabit.

Jelasnya, kes dirujuk kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pulau Pinang untuk tindakan selanjutnya.

Destination: