"Tiada Penjualan Kepada Syarikat Asing, MAHB Masih Kekal Milik Malaysia" - PM

TERKINI
June 25, 2024 - 12:58 PM


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan pemilikan Malaysia Airport Holding Bhd. (MAHB) masih kekal milik negara dan soal penjualannya tidak berbangkit sama sekali. 

Beliau berkata penstrukturan semula MAHB itu sebaliknya akan meningkatkan pemilikan saham Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam konsortium berkenaan daripada 41 peratus kepada 70 peratus.

Beliau juga berkata, jawatan pengurusan utama iaitu pengerusi dan ketua pegawai eksekutif (CEO) MAHB juga masih diterajui rakyat Malaysia.

"Dengan perubahan (penstrukturan semula MAHB) ini, pemilikan Khazanah dan KWSP meningkat dari 41 peratus kepada 70 peratus. Ini berbeza dengan naratif di luar sana.

"Naratif di luar seolah-olah (berlaku) penjualan (sedangkan) tidak ada penjualan MAHB kepada syarikat asing.

"Selama ini syarikat asing memiliki sekitar 27 peratus dan inilah yang diambil alih oleh Abu Dhabi Investment Authority (ADIA) dan Global Infrastructure Partners (GIP). Apakah kita ada penjualan melibatkan lapangan terbang... tidak," katanya. 

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, sementara baki kepentingan 30 peratus lagi dimiliki oleh Global Infrastructure Partners (GIP) dan Abu Dhabi Investment Authority (ADIA). 

Dalam pada itu, Perdana Menteri menjelaskan bahawa pensturukturan MAHB membabitkan GIP ini hanya akan melibatkan aspek pengurusan.

"MAHB syarikat yang menguruskan lapangan terbang, kekal milik kerajaan Malaysia. Ini sama dengan MAHB diberi izin oleh kerajaan Turkiye untuk mengurus Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen di Istanbul.

"Kita diberi hak mengurus tetapi (lapangan terbang di Istanbul) milik kekal kerajaan Turkiye. Berbeza (dengan naratif) kita menjual hak Malaysia kepada zionis dan Israel. Kritikan saya terima baik, tapi biarlah berdasarkan fakta," katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) yang meminta Perdana Menteri menjelaskan mengenai keputusan konsortium syarikat pelaburan berkaitan kerajaan terhadap penjualan saham MAHB kepada GIP. 

Isu tentang MAHB menjadi perhatian ramai selepas GIP yang membeli saham MAHB dimiliki BlackRock Inc, syarikat yang dikaitkan sebagai pro-Israel.

 

Sumber: Berita Harian

Destination: