7 Perkara Ini Boleh Bantu Kesan Travel Agen Palsu

November 29, 2019 - 04:33 PM


Musim cuti sekolah sudah bermula dan kebiasaanya waktu ini akan dihabiskan oleh ibu bapa untuk membawa anak – anak bercuti sebelum mereka memasuki persekolahan semula tahun hadapan ataupun anda sendiri yang nak bercuti. Iyelah, baki cuti tahunan kan masih banyak...

Bila musim cuti ini, biasanya banyak pakej – pakej percutian atau paken mengerjakan umrah yang ditawarkan sama ada atas talian mahupun secara fizikal oleh pihak agensi pelancongan ataupun orang persendirian yang bekerja sebagai travel agen.

Dalam kegairahan untuk merebut harga murah yang ditawarkan oleh agen atau syarikat ini, kadangkala kita terleka dan tidak perasan yang kita sebenarnya terjerat ataupun ditipu. Hampir setiap tahun kita akan dapat berita Jemaah umrah ditipu, travel agen larikan duit, ataupun cerita rombongan terkandas di lapangan terbanga gara -gara ditipu.

Untuk mengelakkan kejadian ditipu atau termakan perangkap travel agen palsu, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) ada meletakkan 7 garis panduan yang boleh diikuti supaya tidak ditipu agen pelancongan.

#1. Pastikan Agen / Syarikat Mempunyai Lesen Sah

Untuk mengelakkan diri anda ditipu, pastikan berurusan dengan agen atau syarikat yang berdaftar dan mempunyai lesen dengan MOTAC.

Syarikat yang menawarkan pakej percutian atau pakej umrah haruslah mempunyai lesen dan untuk memastikan kesahihan mereka, boleh rujuk kepada nombor lesen mereka. Contoh nomboer lesen :

KPL/LN 7017

Untuk semak, boleh ambil nombor belakang syarikat, atau nama syarikat dan lakukan pencarian di laman web motac atau semak disini.

Nota Editor : Biasanya; agensi atau syarikat yang berdaftar dengan MOTAC akan ada nombor pendaftaran lesen, pelekat rasmi kerajaan dan sijil lesen mereka dari pihak kementerian.

 

#2. Pastikan Syarikat Wujud / Masih Aktif

Kadangkala, mungkin syarikat berkenaan telah ditamatkan lesennya atau tidak diperbaharui. Adakalanya ini disebabkan mereka ini melakukan kesalahan. Jadi, boleh semak status mereka di laman web MOTAC atau hubungi mana - mana pejabat MOTAC untuk mendapatkan status syarikat.

Selain laman web atau menerusi panggilan telefon, anda juga boleh rujuk kepada aplikasi MyMOTAC untuk senarai travel agen yang berdaftar dengan kementerian selain boleh merujuk rating sesebuah hotel.

 

#3. Info Pakej

Pastikan info pakej yang ditawarkan adalah lengkap. Sama ada pakej umrah mahupun pakej percutian, semak semua maklumat secara terperinci dan pastikan apa yang dimasukkan dalam tawaran mereka.

Perkara yang perlu diberi perhatian termasuklah; tiket penerbangan pergi dan balik, visa (sekiranya perlu), jenis dan lokasi penginapan yang ditawarkan, makanan (jika disediakan), itinerary penuh percutian / umrah, insurans dan dokumen perjalanan.

 

#4. Terma dan Syarat

Pastikan anda faham segala terma dan syarat untuk pakej percutian atau pakej umrah yang diambil. Perlu diingatkan supaya anda faham tanggungjawab pihak agen, jika pakej umrah; anda perlu tahu hak anda sebagai jemaah umrah dan jika pakej percutian anda pastikan anda tahu hak anda sebagai pelancong.

Selain itu, pastikan baca betul – betul terma dan syarat yang dikenakan terutamanya bahagian pembatalan dan pampasan sekiranya anda membatalkan atau meminta penukaran tarikh dan sebagainya.

 

#5. Pastikan Anda Berurusan Di Pejabat Agen

Sekiranya anda berpuas hati dan mahu melengkapkan tempahan dan pembelian pakej, pastikan anda melakukannya di pejabat travel agen tersebut. Ini secara tak langsung boleh mengelakkan anda menjadi mangsa scam.

Biasanya, mangsa yang ditipu oleh agen hanya membuat urusan diluar pejabat atau menerusi whatsapp sahaja atau melalui orang ketiga. Jadi, ini perlu dielakkan. Jika anda ragu – ragu dengan identiti agen, ambil nama, minta kad perniagaan dan sebagainya.

 

#6. Bayaran Dan Resit

Bayaran kebiasaannya boleh dilakukan kepada agen melalui wang tunai ataupun transaksi atas talian. Adalah WAJIB untuk mana – mana agensi untuk mengeluarkan resit pembayaran yang diterima. Pada resit, pastikan ditulis pembayaran untuk pakej mana dan sebagainya.

Bayaran online haruslah dibuat terus ke akaun travel agensi dan bukan orang ketiga. Tidak kiralah cerita apa yang digunakan, pastikan terus lakukan pembayaran ke akaun agensi. Biasanya, kecurian, agen lari selepas duit masuk ke akaun mereka.

Simpan resit untuk rujukan.

 

#7. Selalu Follow Up

Walaupun agak leceh, pastikan anda sentiasa dapat hubungi pihak agen sehingga kesemua urusan selesai. Pastikan segala dokumen yang diperlukan seperti resit, tiket, tempahan hotel dan lain – lain berada pada anda sebelum anda terbang.

Ada beberapa kes yang berlaku, apabila pelanggan tiba di lokasi hotel, mereka mendakwa tidak menerima sebarang bayaran dari agen. Sudahnya, terpaksalah keluar duit untuk mencari hotel lain.

Akhir kata, penipuan atau scam oleh agensi pelancongan atau individu ini sememangnya wujud. Pastikan anda bukan salah seorang yang menjadi mangsa.