Yeay, Dah Boleh Cross Border Thailand! Ini SOP Yang Korang Kena Patuh Dulu
Pembukaan semula dua pintu sempadan darat Thailand-Malaysia pada 1 April akan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan keselamatan dan kesihatan pelancong serta penduduk tempatan sentiasa terpelihara.
Timbalan Gobenor Wilayah Songkhla Amphon Pongsuwan berkata bermula 1 April, dua pintu sempadan yang akan dibuka semula kepada pelancong ialah:
1) Sadao (wilayah Songkhla) - Bukit Kayu Hitam (Kedah)
2) Wang Prachan (Satun) - Wang Kelian (Perlis)
Berikut adalah beberapa peraturan serta SOP yang perlu dipatuhi oleh pelancong :
1. Pelancong perlu lengkap vaksin COVID-19
2. Pelancong perlu membeli insurans perubatan dengan perlindungan minimum AS$20,000
3. Pelancong yang memasuki Thailand melalui pintu masuk Sadao boleh membawa kenderaan persendirian dari Malaysia.
4. Pelancong antarabangsa yang lengkap vaksinasi tidak perlu sertakan ujian COVID-19, 72 jam sebelum perjalanan ke Thailand.
Selain itu pintu sempadan darat Lapangan Terbang Antarabangsa Hatyai juga dijadual menerima kedatangan pelancong antarabangsa bermula 1 April.
Rakyat Malaysia menjadi kumpulan terbesar pelancong ke negara itu sebelum pandemik COVID-19. Pada 2019, Thailand mencatat hampir 40 juta pengunjung termasuk 4.1 juta pelawat dari Malaysia.
Untuk merancakkan industri pelancongan terutama di wilayah selatan, Menteri Pelancongan dan Sukan, Phiphat Ratchakitprakarn berkata Thailand bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa berkaitan untuk membuka semula semua pintu sempadan darat dengan Malaysia menjelang 1 Mei.
Phiphat berkata kementerian akan mencadangkan kepada Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) untuk membuka semula lebih banyak pintu masuk antara kedua-dua negara.
Sumber: BERNAMA