5 Kereta Kabel & Kereta Api Gunung Yang Wajib Korang Naik Jika Bercuti Ke Switzerland
TRAVELJika dilihat di media sosial, ramai memilih Switzerland sebagai lokasi percutian kerana pemandangan yang begitu memukau dan menakjubkan -- selain kemudahan pengangkutan awamnya yang sangat efisien.
Malah jika diperhatikan menerusi laporan media hujung tahun lepas juga mendapati, data terbaharu daripada Airbnb menunjukkan bahawa Switzerland antara negara sebaris Great Britain, Thailand, Australia dan Perancis -- yang paling banyak dicari oleh rakyat Malaysia untuk percutian ke luar negara pada suku kedua 2022.
Tetapi bagi anda yang mungkin pertama kali 'terbang' ke Switzerland atau lebih popular disebut Swiss, ini adalah 5 kereta kabel dan kereta api gunung yang mempunyai pemandangan cukup memukau serta rugi jika anda tak merasai pengalaman menaikinya.
Jom kita tengok senarai kereta kabel dan kereta api gunung yang dikongsikan oleh penulis blog travel tempatan, Lily Riani yang baru-baru ini berkesempatan meneroka Switzerland.
PENGALAMAN PENULIS NAIK KERETA KABEL 2 TINGKAT YANG ADA 'OPEN DECK' PERTAMA DI DUNIA...
Ini adalah kali pertama saya menaiki kereta kabel di mana ruang atasnya terbuka dan ini adalah kereta kabel sebegini yang pertama di dunia.
Bukan itu sahaja, ini juga merupakan pertama kali saya menaiki keretapi elektrik beroda gerigi paling curam di dunia dan juga kali pertama saya menaiki keretapi di laluan Warisan Dunia UNESCO – Landskap Albula/Bernina.
Jika anda merancang untuk melancong ke Switzerland, pastikan tempat-tempat ini ada di dalam itinerari anda.
1. Stanserhorn Cabrio Cableway & Funicular Railway
Saya percaya ramai pasti tidak tahu mengenai kewujudan kereta kabel ini.
Keunikan kereta api kabel ini adalah ianya dua tingkat dan bahagian atasnya terbuka atau tidak berbumbung.
Ada ciri lain kereta kabel ini adalah terdapat dua kabel sokongan yang dipasang di sisi (tidak seperti kereta kabel biasa), ini membolehkan anda menikmati pemandangan tanpa sebarang kabel melindungi pemandangan di atas.
Selain daripada itu, teknologi yang mengagumkan adalah di mana apabila anda melalui menara perantaraan biasanya ia akan berbunyi, tetapi tidak bagi teknologi ini.
Terdapat restoran di puncak teratas, denai berjalan kaki dan kedai cenderamata.
Anda memerlukan antara 1-2 jam minimum untuk keseluruhan aktiviti.
2. Mount Pilatus Cogwheel Train and Cable Car
Satu lagi pengalaman baru bagi saya ialah menaiki kereta api elektrik roda gerigi (cogwheel) paling curam di dunia mendaki Gunung Pilatus.
Ianya mencecah kecerunan 48 darjah dan perjalanan pertamanya adalah pada tahun 1889.
Gunung Pilatus berada di ketinggian 2132 meter di atas paras laut dan 1697 meter di atas paras bandar Lucerne.
3. Mount Rigi Cogwheel Railway
Kereta api ini mula beroperasi sejak tahun 1871 dan ianya merupakan kereta api roda gerigi pertama di benua Eropah.
Pengalaman menaiki kereta api Gunung Rigi ini amat mengujakan, mungkin kerana terdapat kampung kecil di puncak Gunung Rigi itu sendiri, kerana ianya memberikan vibe lokal yang santai (kampung persaraan).
Terdapat juga beberapa hotel kecil di puncak ini, anda boleh memilih untuk bermalam dan menikmati udara gunung yang segar.
Antara aktiviti yang boleh dilakukan di sini adalah, hiking, fotografi dan berjalan-jalan di kawasan kampung.
4. Brusio Spiral Viaduct
Brusio Spiral Viaduct dibuka pada tahun 1908 dan jejambat lingkaran ini serta laluan seterusnya telah diiktiraf sebagai Warisan Dunia UNESCO.
Terdapat taman di tengah lingkaran jejambat di mana bersebelahannya terdapat sebuah perkampungan kecil.
Apa yang menarik di sini terdapat kafe-kafe di tepi jejambat di mana anda boleh menghirup segelas kopi sambil ‘train surfing’.
5. Rhaetian Railway in the Albula / Bernina Landscapes (UNESCO)
Laluan Warisan Dunia UNESCO ini merupakan laluan terindah yang meliputi 196 jambatan, melalui 55 terowong, termasuk juga jejambat sepanjang 136 meter berhampiran Filisur, di mana perjalanan berakhir di jejambat lingkaran Brusio atau Brusio Spiral Viaduct.
Jika anda seorang pemburu UNESCO, sudah pasti anda akan amat menyukai perjalanan keretapi ini.
Pengiktirafan UNESCO diberikan kerana teknologi dahulu kala yang digunakan dan alam sekitar yang indah selaras dengan penanda UNESCO dari segi seni bina dan landskap.
Diharap semoga perkongsian ini dapat membantu memberi idea terbaik untuk percutian anda ke Switzerland nanti.
Kredit Artikel : Lily Riani Travelholic