Homestay Masjid Tanah, Melaka - Percutian Inap Desa Ala-Ala 'Feel' Balik Kampung!

TRAVEL
September 29, 2022 - 03:02 PM


Percutian ala desa sering menjadi dambaan buat pencinta alam, terutama bagi mereka yang ingin 'berehat' sebentar daripada hiruk-pikuk kesibukan kota atau melepaskan tekanan kerja.

Salah satu pilihan terbaik untuk mendapatkan konsep percutian dengan suasana kampung sebegitu adalah dengan bermalam di Inap Desa atau Homestay.

Bagi yang malas atau terlalu penat untuk berjalan jauh -- dengan hanya memandu 1 jam 40 minit, anda boleh bercuti ke salah sebuah daerah menarik di Melaka yang dipenuhi pilihan homestay unik serta kaya dengan ciri-ciri desa dan cukup memberikan ketenangan kepada anda.

Daerah yang dimaksudkan dan pasti ramai belum tahu mengenai keistimewaannya adalah Masjid Tanah, Melaka.

Disebabkan Masjid Tanah ini lokasinya bersempadanan dengan Negeri Sembilan, jadi anda jangan terkejut jika loghat, cara percakapan dan menu makanan penduduk di sini lebih bercirikan Oghang Nogori berbanding Melaka sendiri.

Tetapi jangan risau, rumah-rumah inap desa di Masjid Tanah semuanya masih mengekalkan reka bentuk dan identiti sebuah 'Rumah Warisan Melaka' dengan keunikan bahagian bumbungnya yang memanjang dan bertingkat dinamakan "bumbung tebar layar".

Lagi satu ciri paling ketara untuk anda mengenal pasti Rumah Melaka ini berbeza dan istimewa sedikit berbanding rumah tradisional negeri-negeri lain adalah binaan tangga batunya diperbuat daripada simen serta dihiasi jubin bercorak tumbuhan, bunga-bungaan, burung atau geometri.

Lebih menarik apabila tangga batu ini dibina dalam bilangan ganjil iaitu 3, 5, 7 atau 9 anak tangga.

Dari sudut luaran pula, Rumah Melaka kebiasaannya mempunyai 'Serambi atau Beranda' iaitu bahagian ruang lapang sebelum memasuki bahagian dalam rumah untuk pemilik rumah dan tetamu duduk bersembang santai atau berehat di sebelah petang.

Rumah Melaka juga anda dapat cam dengan mudah menerusi susunan pasu-pasu bunga dan tumbuhan hiasan di hadapan rumah masing-masing. Memang sejuk mata memandang dan onz sangat digunakan sebagai background untuk port bergambar cantik!

Jika anda ingin merasai sendiri suasana menginap di Rumah Warisan Melaka ini -- anda boleh memilih 36 pilihan Homestay di Masjid Tanah yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Statistik Homestay Berdaftar Dengan MOTAC

Sebenarnya kesemua 36 buah Inap Desa di Masjid Tanah terbahagi kepada 3 kluster iaitu :

1) Homestay Kampung Paya Lebar

2) Homestay Ayer Limau 

3) Homestay Seri Tanjung

Baru-baru ini, Rileklah berpeluang merasai sendiri pengalaman menginap di ketiga-ketiga Homestay Masjid Tanah menerusi program "Jom Balik Kampung Homestay Malaysia @ Melaka 2022" anjuran Pejabat Tourism Malaysia Wilayah Selatan selama 3 hari 2 malam.

Ternyata percutian Homestay tersebut benar-benar membuatkan min berjaya melupakan seketika stress yang ditinggalkan di ibu kota dan teruja mencuba pelbagai aktiviti kampung yang sebelum ini tidak pernah dicuba memandangkan min tidak mempunyai kampung halaman kerana berasal dari Kuala Lumpur.

Nak tahu apa keistimewaan setiap Homestay di ketiga-tiga kluster Masjid Tanah ini, jom min ceritakan serba ringkas.

1. HOMESTAY KAMPUNG PAYA LEBAR

Kalau bercuti ke Homestay Kampung Paya Lebar ini anda mempunyai 12 pilihan rumah inap desa berdaftar dengan kementerian.

Jika menginap di Kampung Paya Lebar ini, min jamin anda takkan kebosanan langsung kerana rupa-rupanya kampung ini mempunyai produk pelancongan yang sangat menarik dan jarang diketahui ramai iaitu "Eko-Pelancongan di Sungai Paya Lebar".

Min lebih suka menganggap pengalaman menelusuri Sungai Paya Lebar ini dengan menaiki bot seakan memasuki alam "Mini Amazon Malaysia"!

Mana tidaknya, sepanjangan perjalanan 5 kilometer yang mengambil antara 1 hingga 2 jam ini anda akan dibawa menelusuri keindahan panorama hutan paya bakau dan sekali-sekala ada 'kawan' yang akan menemani anda di kiri kanan sungai seperti monyet, buaya, ular dan banyak lagi haiwan liar lainnya.

Jangan risau dengan kehadiran buaya di sini kerana reptilia tersebut tidak menjadikan manusia sebagai mangsanya kerana diet makanan mereka adalah hidupan di dalam air dan juga haiwan liar lainnya.

Tetapi jika anda menelusuri Sungai Paya Lebar dengan river cruise, anda wajib berkunjung ke 2 lokasi menarik ini iaitu Sabak Arang dan Taman Lokan!

  • SABAK ARANG

Kalau anda nak tahu di Sabak Arang ini sebenarnya merupakan lokasi pembuatan kayu arang secara tradisional yang diusahakan oleh Md Derus Maluddin berusia 80 tahun.

Masuk je ke Sabak Arang ini anda akan dapat melihat sebuah binaan besar berbentuk Iglu yang digunakan untuk membakar kayu arang.

Uniknya Iglu ala-ala eskimo ini rupanya dah berusia lebih 100 tahun dan diperbuat daripada tanah liat.

Menurut cerita Pak Derus, beliau sudah berkecimpung dalam pembuatan kayu arang ini selama 48 tahun dan menariknya kayu arang di sini diiktiraf oleh pemborong sebagai "Kayu Arang Terbaik di Asia"!

Ini kerana arang yang dihasilkan tidak hancur dan berbentuk sebatang-sebatang kayu pokok bakau. 

Tapi paling 'rare' adalah kayu arang di Kampung Paya Lebar ini apabila disentuh menggunakan tangan ia tidak meninggalkan kesan hitam langsung.

Menarik, kan? Kalau tak percaya anda kena datang dan cuba sendiri ke sini!

  • TAMAN LOKAN

Selepas melawat Sabak Arang, anda teruskan perjalanan river cruise menuju ke satu lagi lokasi menarik yang wajib dilawati iaitu Taman Lokan.

Taman Lokan ini yang diusahakan oleh Zainal Md Ali menempatkan beratus-ratus lokan yang dikutip di sekitar hutan bakau Sungai Linggi untuk diternak di dalam kolam bagi memberi peluang kepada pengunjung merasai sendiri pengalaman mencari lokan di dalam kolam yang berselut.

Anda juga boleh menikmati rasa lokan fresh yang dikutip di situ dengan membakarnya di atas pit barbeku yang disediakan. Kalau bernasib baik, anda juga berpeluang merasai kesegaran udang galah dan ikan yang ditangkap oleh pemancing-pemancing di sungai berdekatan Taman Lokan tersebut! Sedapnya....

Datang sini nanti, anda jangan lupa untuk bergambar OOTD di meja dan kerusi taman buatan sendiri yang dibina menggunakan batuan dan kulit lokan yang disusun teratur oleh Pak Zainal. Laluan seakan akupunktur kulit lokan pun ada!

Antara aktiviti lain di Homestay Kampung Paya Lebar yang boleh juga anda lakukan adalah :

- Pembuatan Keris Tradisional di Lubok China

- Pembuatan biskut kelapa & kuih bakar oleh penduduk kampung yang mengusahakan produk Industri Kecil Sederhana (IKS).

KOPERASI KAMPUNG PAYA LEBAR MASJID TANAH BERHAD

Alamat: No.1, Bengkel Belia 4b Kampung Paya Lebar 78300 Masjid Tanah, Melaka

Nombor Untuk Dihubungi: 018-258 3780 (En Fauzi)

2. HOMESTAY AYER LIMAU

Jika Kampung Paya Lebar kaya dengan produk eko-pelancongan, Homestay Ayer Limau pula terkenal dengan produk gastronominya iaitu makanan.

Antara menu yang wajib anda cuba sekiranya bercuti ke rumah Inap Desa di Ayer Limau ini adalah Masak Lemak Rebung Perut mereka!

Memang pekat, sedap, melikat masak lemak cili apinya. Buat bertambah nasi kalau sekali rasa. 

Disebabkan geografi Masjid Tanah adalah bersebelahan dengan Negeri Sembilan, maka masakan penduduk kampung di sini juga lebih dipengaruhi dengan rasa orang Nismilan iaitu masak lemak berbanding asam pedas yang menjadi menu ikonik Melaka.

Bercuti ke Homestay Ayer Limau anda jangan lupa untuk merasai kelazatan Tapai Pulut, Apam Gula Hangus dan Kek Pisang buatan Mek Ayu -- sebuah perusahaan IKS tempatan. 

Semua hidangan pencuci mulut ini dibuat secara homemade dan tidak hairanlah rasanya benar-benar enak serta sangat sesuai untuk dijadikan sebagai buah tangan buat keluarga dan sanak saudara.

HOMESTAY AYER LIMAU

Alamat: Batu 19 1/2, Jalan Sekolah Lama Kg Ayer Limau 75400 Masjid Tanah, Melaka

Nombor Untuk Dihubungi: 019-275 3707 (Encik Zohaime)

3. HOMESTAY SRI TANJUNG

Pengalaman bercuti di rumah Inap Desa Sri Tanjung, anda akan berpeluang menikmati pakej 'Tour Kampung' yang disediakan di sini.

Petang-petang anda akan dibawa meronda di seluruh pelusuk kampung yang jaraknya tidak jauh hanya sekitar 1 hingga 2 kilometer sahaja.

Selain menikmati panorama indah kampung yang menghijau dengan udara yang segar tanpa banyak kenderaan, anda juga boleh singgah ke beberapa lokasi tarikan di sekitar Kampung Sri Tanjung antaranya melihat pembuatan parang dan keris secara tradisional.

Dah namanya bercuti ke Melaka, tak lengkap rasanya percutian ala desa di bumi bersejarah ini andai tidak mendengar alunan merdu muzik Dondang Sayang yang dipersembahkan khas oleh penduduk di Kampung Sri Tanjung.

Tanpa mengira usia, tak sangka penduduk di sini semuanya berbakat besar dalam mengalunkan irama alat muzik tradisional serta bersuara lunak ketika mendendangkan lagu-lagu Dondang Sayang. 

Benar-benar membuatkan suasanoooo kampung terasa di dalam jiwa sanubari. Memang best betul program "Jom Balik Kampung Homestay Malaysia @ Melaka 2022" ni. Yang pasti min mesti datang lagi ke sini! 

HOMESTAY SRI TANJUNG

Alamat: Seri Tanjung Malaysia, 78300 Masjid Tanah, Melaka

Nombor Untuk Dihubungi: 013-613 8821 (Haji Yusof)

 

Destination: