Jom Berjalan Di Bandar Begawan! - 15 Lokasi Popular Di Brunei Untuk Dilawati

TRAVEL
July 25, 2023 - 02:36 PM


‘Kecil-kecil cili padi’ cukup sesuai digunakan untuk negara Brunei ini, negara yang mewah dan kaya dengan minyak sehingga disenaraikan di dalam majalah Forbes sebagai negara ke-5 terkaya daripada 182 buah negara yang lain.

Negara sekecil Brunei ini juga berbeza dengan negara lain yang terdapat di sekitarnya kerana menerapkan hukum syariah dalam undang-undangnya. Banyak lagi kalau nak senaraikan semua fakta menarik tentang Brunei ini sebenarnya.

Namun begitu, masih ramai yang mengganggap Brunei ini adalah sebuah destinasi yang kurang menarik untuk dilawati, ini bukanlah kerana negara Brunei tidak banyak tempat menarik, tapi kerana negara ini kurang menyebarkan tarikan-tarikan yang ditawarkannya.

Negara yang terletak di Kepulauan Borneo ini ada banyak tarikan temasuklah alam semulajadi, membeli-belah, makan dan berhibur, semua ada! Jom sama-sama kita teroka tempat menarik di Brunei!

1. Jambatan Sultan Omar Ali Saifuddien

Jambatan terpanjang di Asia Tenggara yang baru dibuka untuk kegunaan kenderaan luar negara. Rakyat Brunei telah dapat menikmati kemudahan ini sejak sempadan ditutup kerana wabak Covid-19 pada tahun 2020.

Jambatan ini menghubungkan Bandar Seri Begawan dengan daerah Temburong. Kalau sudah sampai di pekan Bangar boleh juga melawat tamu yang menjual antaranya udang galah dan wajid, makanan wajib dibeli disini.

2. Taman Negara Ulu Temburong

Terletak di Kepulauan Borneo, sudah semestinya Brunei juga kaya dengan keindahan flora dan fauna. Taman Negara Ulu Temburong merupakan taman negara pertama yang diisytiharkan di Brunei sejak tahun 1991.

Anda boleh menginap di satu-satunya resort yang terdapat di sini iaitu Ulu Ulu Resort. Anda juga perlu mendapatkan khidmat pemandu pelancong untuk menerokai kawasan hutan, kalau sesat anda juga yang susah nanti, kan?

Antara aktiviti yang boleh dilakukan di sini adalah bermandi-manda di dalam air segar dari kawasan gunung di Sungai Temburong, berkayak, memerhati burung dan banyak lagi. Di sini juga terdapat dalam sekitar 400 jenis rama-rama. Jangan lupa untuk bawa kamera tau!

3. Kampong Ayer

Kampong Ayer merupakan kawasan penempatan awal di Brunei yang bermula sejak sekitar 1300 tahun yang lalu. Kampung ini juga dahulunya merupakan kawasan yang penting dalam aktiviti perdagangan di Kepulauan Borneo.

Kampong Ayer masih lagi sebuah kawasan yang kelihatan agak klasik berbanding dengan kawasan lain di Brunei. Setibanya di sini, anda dapat melihat rumah-rumah yang dibina di atas air yang merupakan pemandangan yang agak unik untuk disaksikan.

Kalau anda mengikuti lawatan berpandu sewaktu ke Kampong Ayer, anda akan dibawa masuk ke dalam rumah mereka untuk menikmati secawan teh berserta kudap-kudap dari penduduk sini.

Anda juga boleh mendapatkan perkhidmatan bot untuk membawa anda makan angin menyusuri sungai, melihat kawasan paya dan bermacam fauna di alam hijau ini.

4. Kuala Belait

Kuala Belait merupakan bandar kedua yang terbesar di Brunei selepas Bandar Seri Begawan. Pada asalnya, Kuala Belait merupakan kawasan perkampungan nelayan, namun kini telah banyak hotel didirikan yang mengubah lanskap sekitarnya.

Antara tarikan menarik yang terdapat di Kuala Belait adalah Pasar Tudong Saji yang mana anda dapat merasa makanan-makanan tempatan masyarakat Brunei.

Di samping itu, di sini juga terletaknya Taman Jubli Perak Sultan Haji Hassanal Bolkiah yang boleh anda lawati untuk beriadah bersama keluarga. Kemudahan-kemudahan yang terdapat di sini adalah seperti taman permainan kanak-kanak, gazebo dan beberapa peralatan senaman.

5. Masjid Sultan Omar Ali Saifuddien

Berjalan-jalan di sekitar Bandar Seri Begawan, tiba-tiba anda terpandang sesuatu yang berkilau-kilau, apakah agaknya yang menyilau pandangan anda? Kemungkinan besar itu adalah gemerlapan emas yang datang daripada kubah Masjid Sultan Omar Ali Saifuddin kerana kubah utama masjid ini diselaputi oleh emas tulen.

Masjid Sultan Omar Ali Saifuddin yang berketinggian 171 kaki ini dapat dilihat di mana sahaja anda berada sekitar Bandar Seri Begawan. Menariknya masjid ini ia dibina di tepian Sungai Brunei dan dikelilingi oleh taman bunga yang indah.

Rekaan dalaman masjid ini tak kurang hebatnya kerana hampir kesemua material yang digunakan dalam pembinaan masjid ini didatangkan daripada luar negara seperti chandelier kristalnya yang datang dari England, lantai marmarnya yang diimport dari Itali dan karpetnya pula dari Arab Saudi. 

6. Pasar Malam Gadong

Kalau dah melancong ke tempat orang mestilah nak mencuba makanan tempatan yang banyak dan harga yang murah, kan? Ini-lah dia lokasi yang mesti anda lawati, Pasar Malam Gadong di Bandar Seri Begawan. Pasar malam ini cukup meriah dengan pelbagai jenis gerai menjual bermacam-macam jenis makanan termasuk BBQ, grill, kuih-muih tradisional serta minuman hinggakan tak tahu nak beli yang mana.

Kalau anda tak dapat nak buat pilihan, beli je semua yang menarik hati kerana harga makanan di sini tersangatlah murah, kebanyakannya dalam sekitar B$1 – B$4 sahaja.

Tempat makan juga disediakan kalau anda dah tak sabar nak merasa. Yang menariknya lagi, Pasar Malam Gadong ini boleh dikatakan antara pasar malam yang terbersih di Asia Tenggara. Lagilah berselera anda nak membeli-belah!

7. Jerudong Park

Shopping sudah, makan pun sudah, apa lagi nak dibuat di Brunei ni? Apa lagi kalau bukan berseronok sepuasnya di Jerudong Park. Barulah syok percutian ni!

Antara tarikan menarik yang terdapat di Jerudong Park adalah ferris wheel yang mana anda dapat melihat kawasan sekitar taman seluas pemandangan, roller coaster yang sesuai untuk pelbagai peringkat umur, bot pedal yang membawa anda mengelilingi sekitar tasik di Jerudong Park, carousel, bumper car, waterpark dan banyak lagi! Ceriakanlah percutian anak-anak anda ke Brunei dengan membawa mereka ke sini.

8. Malay Technology Museum

Malay Technology Museum ini terbahagi kepada 3 bahagian pameran iaitu Water Village Traditional House Gallery, Water Village Traditional Technology Gallery dan Inland Traditional Technology Gallery.

Di Water Village Traditional House Gallery, anda dapat melihat bagaimana struktur rumah di kawasan penempatan awal iaitu Kampong Ayer dibina. Water Village Traditional Technology Gallery pula anda akan dapat melihat pembuatan atap, bot dan banyak lagi oleh masyarakat setempat.

Akhir sekali di Inland Traditional Technology Gallery pula anda dapat melihat pameran pondok-pondok untuk suku kaum berbeza dan banyak lagi pameran lain yang menarik.

Agak banyak yang dapat anda pelajari di muzium ini tentang sejarah awal Brunei sebelum menjadi antara negara yang terkaya di dunia.

9. Billionth Barrel Monument

Dibina pada tahun 1991, Billionth Barrel Monument merupakan sebuah mercu tanda yang terletak di Seria. Untuk ke sini, memakan masa sekitar 1 jam perjalanan dari pusat bandar.

Monumen ini dibina untuk melambangkan kejayaan Brunei sebagai antara negara pengeluar minyak yang terkaya di dunia. Dah sampai ke Brunei, kalau tidak singgah ke kawasan monumen penting, tak sempurna rasanya perjalanan.

10. The Cement Wreck

Cement Wreck dikatakan sebagai salah satu daripada kawasan menyelam yang terkenal di Brunei. Dengan kedalaman dari 9 ke 32 meter, anda dapat melihat sisa kapal karam yang dikelilingi oleh batu karang dan banyak hidupan laut yang penuh warna-warni.

Nak dijadikan cerita, pada tahun 1980 sebuah kapal kargo dari Jepun tenggelam semasa dalam perjalanan ke Brunei dan inilah kapal yang dapat anda terokai apabila menyelam di sini.

Satu panorama dalam air yang unik dan sangat indah untuk dilihat serta dialami sekali di dalam hidup. Kawasan karam ini juga dikatakan sebagai yang paling fotogenik di Asia. Kalau anda masih baru lagi dalam aktiviti menyelam, jangan risau, menyelam di Cement Wreck ini sesuai sahaja untuk anda. Jangan lupa bawa sekali kamera kalis air anda!

11. Istana Nurul Iman

Pastinya tempat pertama yang tak sabar bila dah sampai ke Brunei adalah untuk lihat istana gah ini yang dinamakan Istana Nurul Iman. Ia bukanlah sebuah istana yang biasa, Nurul Iman ini tersenarai di dalam Guinness Book of Records sebagai istana kediaman raja yang terbesar di dunia.

Terletak berdekatan dengan Sungai Brunei, istana yang berkubah emas ini dapat dilihat dengan jelas dari Taman Persiaran Damuan. Anda juga dapat melihat kemegahan istana ini dengan menaiki bot menyelusuri Sungai Brunei.

Rekaan dalaman istana ini pula telah dihasilkan oleh Khuan Chew yang juga terlibat dalam pembinaan Burj Al Arab di Dubai. Ia hanya dibuka kepada umum selama 3 hari sahaja iaitu pada Hari Raya Aidilfitri dan anda berpeluang untuk melihat Istana Nurul Iman dengan lebih dekat.

Kalau datang pada hari-hari tersebut anda tersangatlah beruntung, kerana bukan sahaja dapat memasuki ruang istana, anda juga dapat menikmati bermacam juadah yang dihidangkan. Bukan itu sahaja, dapat bersalam-salaman dengan keluarga diraja lagi!

12. Muzium Brunei (Kota Batu)

Dari reka bentuk Muzium Brunei ini, dapat dilihat pengaruh tradisional Melayu terutama pada ukiran-ukiran yang terdapat di bangunan ini. Memiliki beberapa bahagian galeri antaranya adalah Galeri Seni Islam, Galeri Sejarah dan ruang galeri untuk pameran sementara.

Antara barangan yang paling antik yang terdapat di muzium ini adalah barangan seramik dari Iran serta kaca dari Mesir yang dianggarkan telah wujud sejak abad ke-9 dan ke-10 lagi. 

13. Seria Energy Lab

Sebagai sebuah negara yang kaya dengan penghasilan minyak, tak sah-lah kalau tiada pusat khas tentang penerokaan minyak. Di Seria Lab Energy atau nama lamanya Oil & Gas Discovery Centre (OGDC) ini anda dapat memahami bagaimana wang ber-bilion ringgit dihasilkan di bumi Brunei.

Galeri interaktif yang menyeronokkan terutama buat kanak-kanak bagi belajar, meneroka berkenaan industri minyak dan gas di Brunei.

Anak-anak juga dapat mencuba permainan IQ yang terdapat di Seria Energy Lab. Untuk pengetahuan anda, sini juga terkenal dengan bengkel sains yang sering dianjurkan. Jika anda berminat untuk join, boleh lawati laman web Seria Energy Lab untuk maklumat lebih lanjut.

14. Royal Regalia Building

Royal Regalia Building ataupun Bangunan Alat-Alat Kebesaran Diraja yang terletak di tengah-tengah Bandar Seri Begawan ini menempatkan pelbagai replika diraja yang termasuklah mahkota-mahkota, pakaian dan banyak lagi.

Di samping itu, terdapat juga pameran pemberian berharga yang telah diberikan kepada kerajaan Brunei, diperbuat daripada pelbagai material seperti kristal, perak dan lain-lain lagi. Walau bagaimanapun, anda tidak dibenarkan mengambil gambar di sini tau. Jaga kamera anda dan jangan keluarkan.

15. Pantai Seri Kenangan

Air laut Pantai Seri Kembangan ini terbahagi daripada air Sungai Tutong dengan sedikit kawasan tanah sahaja. Perbezaan air daripada 2 sumber yang berbeza ini dapat dilihat dari keadaan air sungai yang kelihatan lebih tenang dan air laut yang berombak.

Selain itu, daripada Pantai Seri Kenangan ini juga anda dapat menyaksikan pemandangan matahari naik dan terbenam yang cukup mengujakan. Kawasan pantai ini juga dikelilingi dengan gerai-gerai jualan makanan dan juga restoran. Sesuai sangat kalau anda sekeluarga mencari tempat bersantai sambil lihat view cantik.

Banyak kan tempat menarik yang ada di Brunei ni terutamanya jika anda ke Bandar Seri Begawan. Sebenarnya banyak lagi tempat menarik yang tak disenaraikan dalam ni.

Memang Brunei menjadi tempat yang ideal bagi anda inginkan percutian di luar negara tapi dalam masa yang sama ingin berjimat dan tak mencekik darah. Tunggu apa lagi? Jom bawa keluarga dan rakan-rakan ke negara yang terkaya di dunia ni!

Destination: