Masjid Selat Melaka Ditutup Bagi Aktiviti Pelancongan Sehingga 31 Disember Ini
TRAVELMasjid Selat Melaka yang terletak di Pulau Melaka di sini, ditutup sementara kepada pelawat dan pelancong sehingga 31 Dis ini bagi membolehkan kerja-kerja penyelenggaraan dan naik taraf dijalankan.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata bagaimanapun institusi keagamaan berkenaan dibuka bagi tujuan solat dan aktiviti pengimarahan masjid.
Beliau berkata proses pemulihan dan pembangunan masjid berkenaan melibatkan peruntukan berjumlah RM2.8 juta yang disalurkan daripada kerajaan negeri dan dijangka dibuka semula kepada pengunjung pada awal tahun hadapan.
"Kerja-kerja penyelenggaraan dan naik taraf berkenaan melibatkan keseluruhan bahagian hadapan masjid iaitu dataran, tandas dan kiosk untuk keselesaan pelawat dan umat Islam menggunakan fasiliti di premis tersebut.
"Penutupan sementara masjid berkenaan kepada pelawat bertujuan mengelak risiko kecederaan atau kemalangan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah Zakat Melaka Sektor Awam dan Swasta Tahun 2022.
Beliau berkata proses penyelenggaraan dan naik taraf masjid berkenaan juga dijalankan sebagai persediaan menyambut Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM 2024) kerana ia merupakan satu daripada tumpuan pelancong asing ke Melaka.
Masjid Selat Melaka, dikenali juga sebagai masjid terapung merupakan satu daripada ikon pelancongan negeri dan pembinaannya menelan kos RM10 juta.
Sumber: BERNAMA