Penginapan Dalam Pesawat Pertama di Malaysia - Twin Jets Resort Tawarkan Percutian Berbeza!

TRAVEL
August 04, 2023 - 12:52 PM


Konsep pengangkutan komersial seperti bas selalu kita lihat dijadikan kafe atau hotel. Pesawat pula baru-baru ini dijadikan sebagai tempat membeli belah. Sekarang muncul pula penginapan dalam kapal terbang, bukan satu, tapi dua pesawat yang dijadikan sebuah resort yang menakjubkan.

Mesti kita dah lama mengimpikan penginapan dalam sebuah kapal terbang, yang mana sebelum ini kita hanya menaikinya saja terbang ke tempat-tempat yang jauh. Kadang selesa dan kadang tidak, campur pula perasaan takut apabila berada di atas awan memang tak lena tidur dibuatnya.

Sekarang impian anda itu boleh jadi kenyataan apabila Twin Jets Resorts di tempat peranginan popular, Broga, Negeri Sembilan menyediakan dua buah pesawat mereka dijadikan sebagai resort. Kali ini orang jadikan pesawat sebagai hotel dan ini konsep yang pertama di Malaysia!

Terletak di sempadan antara Selangor dan Negeri Sembilan, resort yang terletak kira-kira satu jam dari Bandaraya Kuala Lumpur ini menjanjikan pengalaman unik buat anda.

Menara Berkembar Dah Ada, Sekarang Pesawat Berkembar Pula! 

Daripada hanya sebuah kapal terbang kini ia telah diubah suai menjadi satu tempat penginapan, ini adalah resort berkonsepkan kapal terbang pertama di Malaysia dan satu-satunya resort di dunia yang menggunakan 2 pesawat sebagai penginapan.

Menggunakan Boeing 727, pemilik Twin Jets Resorts berfikir untuk menjadikan pesawat ini berlainan dan mengambil konsep daripada Menara Berkembar Petronas yang mempunyai jambatan menyambungkan kedua-dua binaan itu.

Kedua-dua pesawat Boeing 727 ini mempunyai kelebihan masing-masing dan dinamakan sebagai First Class Jet dan Gold Star Jet. Setiap pesawat mempunyai dua bilik tidur dengan satu katil king-sized dan dua katil queen-sized, memuatkan 6 ke 8 orang.

Setiap satu pesawat Twin Jets Resorts ini mempunyai dua bilik mandi yang berasingan, jadi anda tak perlu berkongsi dengan sesiapa.

Ada Karaoke Dalam Kapal Terbang!

Di dalam setiap Boeing 727 ini mempunyai ruang makan yang luas dan selesa, juga ada sekali dengan set karaoke di ruang tamu dan mini-bar untuk anda yang menginginkan refreshment. Twin Jets Resorts menyediakan mesin kopi Nespresso untuk melengkapkan hari anda sebagai peminat kopi.

Nak meluangkan masa bersama rakan-rakan atau keluarga, mungkin tak cukup dengan karaoke, mereka sediakan sekali dengan meja pool untuk menambahkan pengalaman bercuti yang menarik.

Menginap di dalam pesawat, dikelilingi kehijauan dan ketenangan kawasan desa di sekitar Broga. Pada waktu malam, pengunjung akan dapat melihat kecantikan bintang sambil ditemani udara segar kerana lokasinya yang dikelilingi alam semulajadi dapat memberikan ketenangan buat para pengunjung yang menginap di sini.

Antara aktiviti lain yang boleh dibuat adalah melawat mini pet farm. Boleh bermain-main dengan arnab, kura-kura. Ayam dan burung-burung pun ada di sekitar resort. Boleh OOTD kat banyak tempat!

'Terbangkan' Pesawat Di Kokpit

Siapa yang tak pernah impikan memegang stering kapal terbang kecil-kecil dulu dan menjadikan pilot sebagai cita-cita. 

Twin Jets Resorts bukan hanya menyediakan pengalaman menginap di resort dalam pesawat, bahkan mereka juga mengekalkan kokpit asal Boeing 727 siap dengan butang dan suis sebenar. Boleh-lah berlagak dekat kawan-kawan anda pernah menerbangkan pesawat. Kalah budak traders!

Pilihan Menginap Di Villa Dan Kabin Juga Tersedia

Jika anda ingin bermalam secara berkumpulan dan inginkan tempat yang luas, Twin Jets Resorts juga ada sebuah villa yang besar. Mempunyai tiga bilik tidur dan tiga bilik air dan boleh memuatkan 15 orang dalam satu masa.

Untuk pengetahuan anda, villa ini tersenarai di dalam Malaysian Book of Records sebagai rumah setingkat yang paling cepat disiapkan, dengan mengambil masa hanya 87 jam sahaja untuk menyiapkannya.

Namun jika anda ingin penginapan yang berlainan dari itu, juga tersedia Cabin Suite untuk anda. Sebuah kabin mampu memuatkan empat orang yang mempunyai dua katil bersaiz queen. Saiz kabinnya sangat luasa siap ada meja makan tau!

Gila tak gila Twin Jets Resorts ni yang ada macam-macam jenis penginapan dan bilik untuk keselesaan, bilangan dan bajet pengunjung. Semestinya anda akan kagum dengan segala benda yang ada di sini, tak kisah dari suasana, design, konsep dan kecantikannya.

Alang-alang dah mendaki ke Broga tu, jom-lah menginap di Twin Jets Resorts sekali!

Twin Jets Resorts

Alamat : Twin Jets Resort, Lot 4916, Lorong KBB 12/1, Kampung Sri Broga, 71750 Lenggeng, Negeri Sembilan

No. telefon : 012-547 3115

Destination: