Rhadana Kuta - Hotel Halal Pertama Di Bali
TRAVELKehebatan Bali, Indonesia sebagai pulau pelancongan dunia sememangnya sukar ditandingi dari segi keindahan serta budaya yang dimiliki oleh pulau negara jiran itu.
Setiap tahun ada sahaja hotel dan resort baharu yang wujud di Bali bagi memenuhi keperluan pelancong dari serata pelusuk dunia yang gemar bercuti serta berbulan madu di sana.
Meskipun Bali yang mendapat jolokan sebagai Pulau Dewata disebabkan kuatnya pengaruh agama Hindu masyarakat di sana -- namun itu tidak menjadi penghalang buat pelancong Muslim atau Islam dari seluruh dunia termasuk Malaysia untuk mengunjunginya.
Meskipun hampir 90 peratus penduduk Bali adalah beragama Hindu dan antara makanan popular di sana adalah babi guling serta soal makanan halal mungkin agak terhad untuk didapati di sana.
Namun kini anda sebagai Muslim tidak perlu bimbang kerana terbaharu Bali telah memiliki sebuah 'hotel halal atau mesra Muslim' pertama seumpamanya di pulau peranginan berkenaan.
Jika ke Bali, anda yang mementingkan keselesaan serta menitikberatkan perihal halal boleh memilih untuk menginap di Hotel Rhadana di Kuta.
Ini kerana Hotel Rhadana merupakan hotel pertama di Bali yang mendapat pengiktirafan Halal dari MUI (Majelis Ulama Indonesia).
Restoran mereka iaitu De’dapoer turut menghidangkan hanya makanan & minuman yang halal. Tiada sebarang alkohol dijual di sana.
Manakala dalam bilik pula, Hotel Rhadana menyediakan kelengkapan peralatan solat seperti sejadah dan telekung bagi menunaikan solat serta Al-Quran.
Hotel Rhadana juga dikenali sebagai 'The Themed Boutique Hotel' serta mempunyai keseluruhan 74 buah bilik yang memiliki tema serta konsep berbeza antara satu sama lain.
Untuk rekod -- Hotel Rhadana juga pernah dinobatkan sebagai Best Moeslem Friendly Hotel di acara Anugerah Perhimpunan Hotel & Restoran Indonesia (PHRI) 2019.
Satu-satunya kekurangan hotel ini hanyalah ia tidak terletak betul-betul di tepi pantai.
Tetamu perlu berjalan kaki sekitar 10 minit untuk ke pantai terdekat iaitu Pantai Kuta.