Singapore Airlines Terpaksa Mendarat Cemas Di Bangkok Selepas Teruk Dilanda "Air Turbulence" Seorang Penumpang Maut
TRAVELPesawat Singapore Airlines SQ321 mengalami gelora udara hingga menyebabkan penumpang berada di dalamnya maut dan cedera.
Menerusi hantaran di laman Facebook rasmi milik Singapore Airlines, seramai 18 penumpang telah dimasukkan ke hospital manakala 12 lagi sedang menerima rawatan selanjutnya.
"Baki penumpang dan kru sedang diperiksa dan diberi rawatan yang perlu di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi di Bangkok,” kata pihak syarikat penerbangan itu dalam hantaran.
Tambah pihak Singapore Airlines lagi, pihaknya sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Thailand untuk memberikan bantuan perubatan kepada penumpang.
Dalam pada itu, pihaknya juga sedang menghantar pasukan pertolongan ke Bangkok untuk memberikan sebarang bantuan tambahan yang diperlukan.
Sementara itu, menerusi hantaran di media sosial, terdapat beberapa warga maya berkongsi keadaan pesawat Boeing 777-300ER selepas mengalami kejadian gelora udara yang teruk.
Dalam video berdurasi 16 saat yang dikongsikan oleh @AdityaRajKaul di X, kesemua topeng oksigen tergantung daripada siling pesawat dan tidak berada di tempat yang sepatutnya.
Selain itu, kabin pesawat digambarkan berada di dalam keadaan berselerak dan sebahagian komponen pesawat dilihat turut terkeluar daripada siling pesawat.
Dalam gambar tersebut boleh dilihat makanan yang disediakan oleh pihak penerbangan turut bergelimpangan di sekitar kabin pesawat.