'Syurga' Buat Pencinta Pulau - 7 Pulau Yang Cantik Di Terengganu!

TRAVEL
July 20, 2023 - 04:37 PM


Sebut aje Terengganu mesti korang terfikirkan pantai-pantai dan pulau-pulau yang cantik di negeri Pantai Timur tersebut. Terengganu mempunyai destinasi percutian di pulau-pulau yang menarik dan bertaraf dunia. 

Terdapat pulau yang paling ideal untuk datang berbulan madu, scuba diving atau bercuti bersama keluarga dan rakan-rakan. Ekosistem laut, pemandangan dan kejernihan air laut di pulau-pulau berikut sangat menarik minat pelancong seluruh dunia untuk datang ke sana.

Namun korang kena ingat, pulau-pulau di Terengganu ini terletak di Laut China Selatan dan tidak digalakkan untuk ke sini ketika musim tengkujuh yang berlaku antara Oktober hingga Mac setiap tahun. 

Min sediakan 7 pulau yang cantik serta menarik untuk korang memenuhi kehendak untuk melancong sama ada snorkeling, scuba diving atau honeymoon dengan pasangan.

1. Pulau Redang

Pulau Redang merupakan yang paling popular di Terengganu ni terletak kira-kira 46km dari pesisiran pantai Kuala Terengganu serta merupakan pulau terbesar daripada semua pulau yang ada di Laut China Selatan & dalam perairan negeri Terengganu. Kebiasaanya pelancong lebih gemar naik bot di jeti di Kuala Terengganu (Jeti Shah Bandar) yang berhampiran dengan Pasar Kedai Payang untuk ke Redang.

Pulau Redang menawarkan air laut yang sangat jernih dan banyak lokasi menyelam terbaik di Semenanjung Malaysia. Kalau snorkeling di sini anda boleh berjumpa dengan banyak hidupan marin dengan mudah.

Pada waktu tengahari ketika cahaya matahari memancar menembusi laut, dari darat sudah boleh melihat batu karang di dasar laut & ikan-ikan yang berwarna-warni berenang.

Pulau Redang sememangnya syurga bagi mereka yang kaki berenang, snorkeling, scuba diving, berkanu dan jungle trekking. Boleh dikatakan Pulau Redang merupakan pulau kegemaran bagi mereka yang bercadang untuk honeymoon di pulau di Terengganu.

Harus diingat bahawa aktiviti memancing tidak dibenarkan di dalam 3.2km radius dari Pulau Redang kerana telah digazetkan sebagai taman marin yang terjaga. Perairan di sekitar Pulau Redang juga mempuyai 2 tempat bersejarah kapal karam iaitu H.M.S Price of Wales dan H.M.S Repulse yang karam ketika permulaan Perang Dunia Kedua dan era permulaan penjajahan Jepun di Tanah Melayu.

Bagi yang inginkan percutian di pulau di Terengganu yang paling popular, Pulau Redang adalah jawapannya. Selain itu, pilihan hotel di Pulau Redang terutamanya di kawasan tepi pantai juga lebih banyak & menarik.

2. Pulau Perhentian

Pulau Perhentian di Terengganu ini terdiri daripada 2 pulau utama iaitu Pulau Perhentian Kecil dan Pulau Perhentian Besar. Nama Perhentian ini diberi kerana dahulunya pulau-pulau ini menjadi tempat perhentian para pedagang yang berlayar di antara Malaysia dan Bangkok.

Keindahan hidupan marin di sini juga setanding dengan yang ada di Pulau Redang dan juga merupakan destinasi wajib bagi setiap penyelam yang bercuti di pulau di Terengganu. Anda boleh ke Jeti Kuala Besut untuk menaiki bot untuk ke Pulau Perhentian.

Keindahan Pulau Perhentian masih lagi terjaga dan bahkan kalau nak bersiar-siar di sini hanya menggunakan denai jalan kaki ataupun teksi bot. Di sini tidak mempunyai jalan raya seperti Pulau Tioman atau Langkawi.

Jungle trekking di sini juga agak menarik dan anda boleh melihat beberapa hidupan liar yang ada seperti biawak, kelawar buah, tupai dan pelanduk. Aktiviti utama di sini sudah tentulah snorkeling dan scuba diving.

Pulau Perhentian juga antara pulau di Malaysia yang sering menjadi destinasi percutian backpacker dari dalam dan luar negara kerana di sini mempunyai banyak pilihan chalet bajet. Bagi yang inginkan keselesaan dan percutian yang lebih eksklusif, di sini juga terdapat resort-resort yang mewah yang terbina di pesisiran pantai di Pulau Perhentian.

3. Pulau Kapas 

Pulau Kapas pula terletak berdekatan dengan bandar Kuala Terengganu dan kalau nak ke sini korang perlu menaiki bot dari jeti di Marang. Pulau Kapas tidaklah sebesar Pulau Perhentian dan Pulau Redang dan hanya 2km panjang dan lebarnya pula sekitar 1km.

Memandangkan Pulau Kapas ini tidaklah sepopular dua pulau di atas, pada musim cuti sekolah tidak terlalu sesak dengan kehadiran pelancong. Kebiasaannya pelancong ke sini lebih kepada inginkan rileks-rileks, berjemur di tepi pantai, diving, snorkeling dan ada juga yang hiking di sini.

Terumbu batu karang di sini & ikan-ikan cantik tidak kurang menariknya untuk aktiviti snorkeling dan kalau anda nak bercuti di pulau di Terengganu yang tidak ramai dengan orang terutamanya di cuti sekolah, bolehlah ke Pulau Kapas. Pulau Gemia yang tidak kurang menariknya pula terletak hanya bersebelahan dengan Pulau Kapas.

Sekitar perairan Pulau Kapas sering menjadi lokasi bot-bot nelayan untuk bercandat sotong terutamanya pada bulan Jun dan Julai. Setiap tahun memang ramai orang yang menyewa bot di jeti Marang untuk bercandat sotong di sekitar perairan Pulau Kapas.

4. Pulau Gemia

Pulau Gemia merupakan pulau persendirian yang terletak 800m ke arah utara Pulau Kapas. Perairan di Pulau Gemia juga tidak kurang hebatnya dengan pantai yang cantik dan dikelilingi terumbu batu karang. Hanya terdapat satu resort di sini iaitu Gem Wellness Spa & Island Resort. Bagi anda yang nak percutian yang lebih privasi di pulau yang terpencil, bolehlah ke Pulau Gemia.

Destinasi Pulau Gemia sangat ideal untuk mereka yang lebih sukakan ketenangan tanpa kesibukan pelancong yang terlalu ramai. Kebiasaannya pelancong yang datang bercuti di Pulau Gemia lebih sukakan aktiviti yang santai & untuk berehat menenangkan fikiran tanpa aktiviti-aktiviti lasak di air.

Namun, sekiranya pelancong nak lakukan aktiviti snorkeling atau berkayak, Pulau Gemia tetap ada kawasan menarik di sekitar untuk diterokai. Sangat sesuai untuk dijadikan sebagai destinasi berbulan madu bersama pasangan anda.

5. Pulau Lang Tengah 

Pulau Lang tengah merupakan pulau kecil  yang terpencil terletak di antara Pulau Redang dan Pulau Perhentian. Pulau ini berada di kira-kira 40km ke arah utara Kuala Terengganu dan kira-kira 22km dari persisiran pantai semenanjung.

Anda boleh ke sini menaiki bot di Jeti Marang yang terletak dalam daerah Besut. Hanya terdapat dua perjalanan bot ke pulau dalam sehari iaitu pada waktu pagi dan tengahari. Kebiasaannya orang ke sini untuk honeymoon kerana pulau di sini agak kurang pengunjung kalau nak dibandingkan dengan Redang dan Perhentian. Aktiviti snorkeling untuk melihat terumbu karang dan hidupan marin sememangnya bertaraf dunia.

Waktu terbaik adalah di antara bulan Mei hingga Oktober setiap tahun dan elakkan pergi waktu musim tengkujuh. Jika bernasib baik, anda boleh melawat tapak sarang penyu hijau yang bertelur pada Mei hingga September setiap tahun.

Memandangkan perairan di Pulau Redang dan Lang Tengah adalah sama, maka anda boleh menjangkakan keindahan di sini juga setanding dengan Pulau Perhentian. Resort tepi pantai yang ada di Pulau Lang Tengah cuma 4 iaitu Sari Pacifica Hotel & Spa, Summer Bay Resort, D’coconut Lagoon dan Lang Sari Resort.

6. Pulau Tenggol

Pulau Tenggol merupakan satu lagi pulau yang sangat cantik terletak hanya kira-kira 50 minit perjalanan dari jeti Kuala Dungun. Sekiranya anda ke jeti Kuala Dungun, jangan lupa untuk singgah di atas Jambatan Baru Dungun untuk melihat keindahan muara sungainya.

Walaupun pulaunya hanya sepanjang 3km sahaja, namun Pulau Tenggol sering menjadi destinasi untuk mereka yang ingin menyelam di perairan yang cantik. Dahulunya pulau ini tidak popular dan tidak berpenghuni, namun kini mempunyai beberapa hotel dan resort tepi pantai yang selesa kepada pelancong.

Bagi yang gemarkan cabaran jungle trekking dan mendaki bukit, anda boleh mendaki di tengah Pulau Tenggol ini yang setinggi 244m dan yang paling syok, boleh bergambar serta menikmati keindahan sekeliling pulau dari puncak.

Sekiranya anda kaki menyelam, anda patut mencuba scuba diving di Pulau Tenggol yang dianggap setara dengan lokasi menyelam bertaraf dunia yang lain.

Selain terumbu karang yang indah di dasar lautan, anda juga boleh berjumpa dengan hidupan marin yang menarik seperti humphead parrotfish, giant stingray, leopard sharks, bat fishes, whale sharks dan schooling jacks. Kalau bernasib baik, Whale Shark juga boleh kelihatan di sesetengah tempat di sini daripada bulan Ogos-Oktober pada setiap tahun.

7. Pulau Bidong

Pulau Bidong yang terletak berdekatan daerah Setiu merupakan destinasi yang sangat terkenal dalam kalangan penyelam. Untuk ke Pulau Bidong, pelancong perlu menaiki bot laju dari Jeti Marang.

Tiada penginapan yang dibangunkan di Pulau Bidong mungkin kerana kawasannya yang terlalu berbatu. Namun kalau anda ingin menikmati keindahan dasar laut  di Pulau Bidong, anda boleh cari pakej pulau di Terengganu atau organizer menyelam untuk guide dan bawa anda menyelam di sini.

Perairan Pulau Bidong mempunyai banyak kawasan terumbu karang yang menarik. Terdapat 15 lokasi menyelam perairan Pulau Bidong yang sering menjadi kunjungan mereka yang selalu scuba diving. Percaya atau tidak, anda boleh berjumpa dengan kepala lori di dasar lautan di Pulau Bidong. Untuk memudahkan anda bertolak ke Pulau Bidong di awal pagi, sebaiknya cari penginapan berdekatan dengan Jeti Marang.

Menarik-kan ketujuh-tujuh pulau yang disebutkan kerana keindahan dan ekosistem yang ada di setiap pulau. Sebenarnya terdapat lebih 10 buah pulau di Terengganu, namun yang paling ideal untuk datang bercuti dan buat pelbagai aktiviti hanya tujuh sahaja.

Rancang perjalanan dan percutian anda dan elakkan pergi pada musim tengkujuh kerana membahayakan keselamatan serta kebanyakan pulau bahagian pantai timur akan suram sepanjang musim tersebut.

Destination: