Tiny Away Escape @ Lazarus Island - Penginapan 'Rumah Comel' Pertama Berkonsep Mesra Alam Di Pulau Selatan Singapura

TRAVEL
March 13, 2023 - 01:31 PM


Bagi anda yang mungkin ingin bercuti ke Singapura tetapi teringin menginap dengan pemandangan laut terbentang indah -- anda boleh cuba sebuah "rumah kecil" berkonsepkan mesra alam baharu di Pulau Lazarus atau Pulau Sekijang Pelepah.

Ini kerana pengendali penginapan Big Tiny, sebuah syarikat Australia membangunkan 5 buah unit 'rumah kecil' kepada pelancong di mana setiap satunya berukuran antara 150 hingga 170 kaki persegi.

Meskipun tempahan untuk tempat percutian itu hanya dibuka mulai Mei tahun ini -- namun sehingga Rabu lepas (8 Mac 2023), lebih 600 orang telah mendaftar dalam talian untuk mendapatkan diskaun awal.

Bagaimanapun sewa semalaman di 'rumah kecil' Pulau Lazarus itu masih belum dimuktamadkan, namun kadar promosi dijamin adalah lebih kurang selaras dengan caj yang dikenakan jenis penginapan sama di Australia iaitu kira-kira RM 595 untuk satu malam. 

'TINY AWAY ESCAPE @ LAZARUS ISLAND'

Sebelum ini telah diumumkan bahawa Pulau Lazarus yang mempunyai keluasan 47 hektar dan terletak di selatan Singapura, akan mempunyai kemudahan penginapannya yang pertama sebagai kawasan tarikan pengunjung mesra alam. 

Dipanggil Tiny Away Escape @Lazarus Island -- 5 unit itu akan dipasang dengan beberapa ciri mesra alam seperti panel solar dan biodigester yang boleh menukar sisa makanan menjadi kompos dalam masa 24 jam.

Unit seluas 150 kaki persegi ini akan dilengkapi dengan katil bersaiz sederhana (queen) untuk dua orang, sebuah dapur yang serba lengkap, penghawa dingin dan pancuran mandian air panas.

Baki empat unit akan menjadi model "baru" yang direka oleh syarikat. Dengan ruang dalaman yang lebih besar sedikit kira-kira 170 kaki persegi, unit-unit itu akan mempunyai katil sofa tambahan untuk dua kanak-kanak dan tingkap-tingkap besar yang menawarkan pemandangan luas 180 darjah ke arah laut. 

Dua daripada lima unit akan juga dijadikan mesra haiwan peliharaan.

Setiap unit akan mempunyai hiasan dalaman yang berbeza-beza, dari desain retro hinggalah kepada hiasan ala penjajahan British, sejajar dengan zaman-zaman yang pernah dilalui Singapura. 

'RUMAH KECIL' PERTAMA BERKONSEP EKO-PELANCONGAN

Big Tiny merupakan syarikat pertama di Singapura yang mengintegrasikan eko-pelancongan dengan konsep "rumah kecil" – iaitu sebagai sebuah gerakan antarabangsa yang menyokong kehidupan sederhana di rumah-rumah kecil yang mesra alam.

Firma itu terlibat dalam mereka rumah-rumah kompak atas roda dan menempatkannya dalam persekitaran luar bandar yang indah di lapan negara, termasuk Australia dan Itali.

Sumber: Channel News Asia

Destination: