Wetland Studios Putrajaya : Taman Tema Edu-Pelancongan Terbaru Untuk Kanak-Kanak "Belajar Sambil Berhibur"!
TRAVELJika sebelum ini Putrajaya hanya terkenal sebagai sebuah pusat pentadbiran negara -- namun kini bandar tersebut semakin meriah dengan tarikan pelancongan yang tidak hanya menggamit kunjungan pelancong tempatan bahkan pelancong asing juga.
Terbaharu Putrajaya turut memiliki taman tema Edu-Pelancongan yang dibuka secara rasmi pada hari ini iaitu 26 Mei 2023 yang diberi nama WETLAND STUDIOS PUTRAJAYA!
Taman tema yang menampilkan konsep 'edutainment' atau belajar sambil berhibur ini sememangnya bakal menjadi tarikan kepada pengunjung terutama golongan kanak-kanak.
Untuk pengetahuan korang, sebelum ini taman tema berkenaan dikenali sebagai Pusat Penghayatan Alam (NIC) Taman Wetland setelah ia beroperasi selama 10 tahun dan kini ia telah ditambah baik serta dijenamakan semula menjadi Wetland Studios Putrajaya.
Kalau korang nak tahu juga taman tema edu-pelancongan ini sebenarnya merupakan inisiatif daripada hasil kerjasama antara Perbadanan Putrajaya (PPj) bersama KRU Studios yang melibatkan pembangunan bahan pameran interaktif menggunakan sistem teknologi terkini.
Selain menyediakan maklumat berguna untuk pengetahuan pengunjung -- Wetland Studios Putrajaya ini juga turut menekankan tema pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar serta spesies-spesies hidupan dari era pra-sejarah sehingga kini khususnya mempertingkatkan fungsi dan peranan air tawar sebagai salah satu sumber utama kehidupan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KRU, Datuk Norman Abdul Halim berkata Wetlands Studios ini mendidik masyarakat tentang sains kehidupan.
“Saya berharap taman tema indoor ini boleh menjadi tempat pendidikan anak-anak belajar tentang sains kehidupan. Ia sudah tentu sesuai dengan minat kanak-kanak kerana ia berkonsepkan pendidikan hiburan atau edutainment.
“Wetlands Studios Putrajaya yang merupakan bangunan tiga tingkat ini menyediakan banyak aktiviti menarik yang melibatkan kehidupan air, darat dan udara. Di mana mereka akan diterangkan tentang kepentingan tiga elemen ini termasuk flora dan fauna.
“Apa yang menarik, penyampaian info sains kehidupan ini bukanlah seperti dalam kelas tetapi ia menghiburkan. Penyampaian adalah secara naratif yang melibatkan teknologi hologram, animasi dan robotik.
“Setiap kehidupan disediakan dalam bentuk robot yang menarik sekali gus memudahkan mereka memahami tentang kepentingan kehidupan air, darat dan udara,” jelas beliau.
Menurut Norman, kos kandungan dan teknologi bagi membangunkan Wetland Studios yang dianggarkan membabitkan pelaburan RM10 juta ini diharap dapat dimanfaatkan oleh masyarakat.
“Wetland Studios bukan sekadar taman tema untuk bersuka-ria tetapi berkonsepkan edutainment yang menonjolkan peranan Taman Wetland Putrajaya serta flora dan faunanya kepada masyarakat setempat.
“Pengunjung akan mendapat pemahaman saintifik yang menghiburkan tentang pelbagai spesies hidupan seperti mamalia, reptilia, ikan, burung, serangga, pokok, bunga dan sebagainya serta peranan utama air bagi menyokong ekosistem kehidupan di bumi dari zaman prasejarah sehingga kini,” jelas beliau.