"Ayah Saya Bukan Superstar Nak Buat Muka" - Nurul Hidayah Jelaskan Ahmad Zahid Alami Saraf Mata Tak Berfungsi

TERKINI
July 05, 2023 - 01:09 PM


Baru-baru kecoh di media sosial apabila orang ramai tertanya-tanya serta mempersoalkan apa sebenarnya yang berlaku terhadap keadaan mata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi -- yang disifatkan ramai sebagai pelik dan agak menakutkan.

Semuanya gara-gara apabila melihat gambar serta video orang nombor dua negara itu terlihat dengan mata bengkak dan lebam, sehingga ada juga spekulasi yang mendakwa beliau mungkin membuat pembedahan katarak atau pembedahan plastik.

Namun di sebalik dakwaan liar itu, anak sulung Datuk Seri Ahmad Zahid iaitu Datuk Nurulhidayah tampil memberi penjesan mengenai apa sebenarnya yang telah berlaku terhadap bapa kesayangannya itu.

Menurut beliau, Datuk Seri Ahmad Zahid sebenarnya telah mengalami kerosakan saraf optik dan memerlukan pembedahan.

“Saraf mata dia tak function (berfungsi). Sebab tu mata dia jadi ‘jatuh’. Buat muka buat apa, bukan Super Star pun. Kalau sampai mudarat sebab saraf mata, kena la buat sesuatu.

“Tapi biasalah orang lagi seronok fitnah daripada tahu perkara sebenar,” tulisnya membalas komen netizen di Instagram.

Nurulhidayah berkata sebagai ahli politik, Datuk Seri Ahmad Zahid perlu kuatkan semangat walaupun sakit kerana memikul tanggungjawab besar yang diamanahkan.

Nurulhidayah berkata, bapanya masih dalam proses pemulihan dan tidak berehat lama selepas pembedahan mata.

Pada 22 Jun lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution mengesahkan Zahid bercuti selama dua minggu.

Namun Zahid yang juga Presiden UMNO sekali lagi mencuri tumpuan apabila dilihat tampil memakai cermin mata hitam pada Persidangan Pertubuhan Akademi Kebangsaan Biro Siasatan Persekutuan (FBINAA) Asia Pasifik ke-23 di Kuala Lumpur pada 26 Jun lalu. 

Destination: