Beli Rumah Dapat Hantu? Rumah Paling Berhantu di PJ Dilelong Dengan Harga 4.4 Juta
TERKINISebuah banglo usang yang terletak di Bukit Gasing dekat Petaling Jaya kini dilaporkan dalam proses lelongan selepas bertahun-tahun tidak berpenghuni.
Menurut laman Facebook Selangor Auction Property, hartanah itu bakal dilelong dengan harga RM4.4 juta pada 13 December 2022.
Misteri banglo mewah dikenali dengan nama SG House ini pernah menggemparkan penduduk setempat dengan pelbagai variasi cerita seram.
Memetik beberapa cerita orang awam, SG House dikatakan diambil dari nama pemiliknya, iaitu seorang doktor, Sanjay Gill (SG). Huruf utama SG itu ada dipaparkan di pintu gerbang banglo berkenaan.
Antara kisah yang berlegar dalam penduduk setempat, ada yang mengatakan Sanjay telah membunuh diri di dalam rumah apabila perniagaannya berada di kemuncak.
Malah ada cerita lain mengatakan dia mengakhiri hidupnya kerana isterinya telah membunuh perempuan simpanannya lalu menggantungkan dirinya di rumah itu.
Selain itu, ada lagi versi cerita lain iaitu isteri Sanjay telah menikamnya bersama perempuan simpanannya dan anak perempuan mereka di rumah selepas mengetahui kecurangan suaminya.
Bagaimanapun kesemua versi cerita ini adalah palsu kerana maklumat dari orang awam mendapati bahawa rumah ini kepunyaan seorang Cina Kristian iaitu Shihan Goh.
Dahulu rumah berkenaan adalah milik Shihan Goh Healing Academy Sdn Bhd dan ada kemungkinan syarikat tersebut telah pun lingkup menjadikan rumah berkenaan diserah kepada pihak bank yang memberi pinjaman hutang.
Berdasarkan perkongsian Muhammad Ishaq pada tahun lalu, hasil cariannya di pejabat tanah mendapati pemilik sebenar rumah ini adalah Raymond Goh dengan IC kepala 61 (sekarang umur 60).
Rumah tersebut digadaikan pada bank pada 15 Mac 2013. Nama popular pemilik rumah ini adalah Shihan Goh (SG).
“Mungkin rumah ini orang cakap seram sebab dulu owner banyak buat benda penyembahan berkaitan spirit. Mungkinlah,” katanya.